Tujuh lelaki terlepas hukuman mati

Iklan
Peguam, Kamal Hisham Jaafar bersama anak-anak guamnya gembira selepas Mahkamah Tinggi melepas dan membebaskan semua tertuduh daripada edar dadah.

JOHOR BAHRU - Tujuh lelaki terlepas hukuman mati selepas Mahkamah Tinggi di sini pada Rabu melepas serta membebaskan mereka daripada tuduhan mengedar heroin seberat lebih 11 kilogram, lima tahun lalu.

Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Abdul Fareed Abdul Gafoor memutuskan keputusan demikian selepas pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap semua tertuduh, di akhir pendakwaan.

Iklan
Iklan

Dalam hujahannya, Abdul Fareed berkata, terdapat keterangan yang menimbulkan kelompangan termasuk kegagalan memanggil saksi penting.

“Kes ini melibatkan lapan tangkapan dan empat lagi individu termasuk seorang wanita di tempat berasingan.

Iklan

“Tiga lelaki berkenaan ditahan mengikut langkah-langkah pencegahan khas manakala wanita itu dibebaskan namun mereka ini tidak dipanggil sebagai saksi pendakwaan.

Mahkamah Tinggi Johor Bahru melepas dan membebaskan tujuh lelaki daripada pertuduhan edar dadah selepas pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie.

Iklan

“Figura penting dalam kes ini ialah individu yang dikatakan penyewa rumah itu dan mengaturkan pengangkutan untuk menghantar ikan namun dia tidak dipanggil sebagai saksi,” katanya.

Pada 26 November 2021, lapan lelaki, Woon Kim Foo, 48, Lee Kok Yeng, 46, Cheong Suan Nean, 50, Tan Teck Joo, 55, Gan Poh Guan, 45, Tay Choon Hua, 48 dan Cheng Tee Tee, 56, bersama seorang lagi yang sudah meninggal dunia, Wong Yit Liang didakwa mengedar dadah berbahaya jenis heroin dengan berat bersih 11,806 gram.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah di Jalan Tuah 4, Taman Tuah, Pekan Nenas, Pontian, kira-kira jam 8.30 pagi, 6 November 2021.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta yang sama serta dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup, jika bersalah.

Tujuh lelaki dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan edar dadah.

Abdul Fareed turut berhujah, tiada sebarang penjelasan diberikan berkenaan perbezaan berat dadah yang dirampas.

"Pegawai tangkapan memberitahu berat kasar adalah 20,410 gram, namun penimbangan tidak dibuat dihadapan tertuduh, manakala berat yang ditimbang ahli kimia adalah 17,636.7 gram, ia berkurangan sebanyak hampir 14 peratus.

"Manakala, berat bersih adalah 11,806 gram ia hampir separuh daripada berat kasar yang dinyatakan oleh saksi.

“Pegawai tangkapan juga mengatakan beliau telah memerhatikan beberapa orang individu melakukan aktiviti memasukkan sesuatu ais batu ke dalam kotak polistirena selama 10 minit, namun tidak dapat mengenal pasti apakah yang dimasukkan itu dan siapakah yang memasukkan dadah berkenaan ke dalam kotak-kotak berkenaan," jelasnya.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Diyana Zubir, manakala Kim Foo, Kok Yeng, Suan Nean dan Teck Joo diwakili peguam R Rajasegaran dan Poh Guan, Choon Hua, Tee Tee serta Yit Liang diwakili peguam Kamal Hisham Jaafar, Zali Shaari serta Nurainaa Kamilah Zalizan.

Yit Liang dilaporkan meninggal dunia di penjara pada 31 Ogos 2025, ketika kes sedang dalam proses perbicaraan sebelum keputusan diberikan.

Seramai enam saksi pendakwaan dikemukakan sepanjang prosiding perbicaraan yang bermula pada 2022.