GEORGE TOWN - Seramai 11 lelaki mengaku tidak bersalah di atas pertuduhan bersama merusuh di hadapan sebuah sekolah dalam kejadian pada Ogos lalu.
Mohamad Nun Mohamad Jupri, 34, V Rathakisnan, 22, Soman Sri Mahen Deren, 19, Muhammad Haikal Mohammad Rafiq, 19, Chad Sebastian George Albert, 19, Elijah Yong, 19, Cheow Junnuo, 24, Tony Yen Chun Yun, 19, R Divagar, 20, Muhammad Amirul Hafiz Abdullah, 21 dan Ng Chern Yeow, 24 membuat pengakuan tersebut di hadapan Majistret Noor Idayu Salim di Mahkamah Majistret 2 di sini pada Rabu.
Mengikut pertuduhan, mereka didakwa bersama-sama telah menyertai rusuhan yang mana ketika rusuhan itu memiliki benda yang boleh memudaratkan apa-apa senjata maut yang boleh digunakan sebagai senjata untuk menyerang.
Mereka dituduh melakukan kesalahan itu di hadapan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Kong Ming Cawangan Kedua Air Itam pada jam 2.45 pagi, 29 Ogos lalu.
Jika sabit kesalahan, mereka boleh dipenjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Siti Marissa Safina Saiful Adli sementara Tony diwakili peguam Edric Loo manakala yang lain diwakili peguam, K Mahendran.
Siti Marissa menawarkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin selain syarat tambahan iaitu semua tertuduh perlu melaporkan diri di balai polis terdekat sebulan sekali.
Mahendran kemudiannya memohon mahkamah mengenakan jaminan minimum berikutan kesemua anak guamnya mempunyai tanggungan selain hanya berpendapatan rendah.
"Tertuduh pertama bekerja sebagai pemandu lori dengan pendapatan tidak tetap selain sudah berkahwin, mempunyai isteri dan tiga anak. Tertuduh ketujuh juga sudah berkahwin dan perlu menanngung isteri dan dua anak. Dia bekerja sebagai pemborong sayur namun pendapatan bulanan tidak tetap.
"Sementara tertuduh kedua, ketiga, keempat, kelima, keenam, kesembilan, ke-10 dan 11 belum berkahwin namun perlu menanggung kedua ibu bapa yang sudah tua.
"Kebanyakkan mereka bekerja sebagai penghantar makanan dan pemandu e-hailing dengan pendapatan antara RM1,500 hingga RM1,900," katanya.
Mahendran juga memberi jaminan kepada mahkamah bahawa kesemua tertuduh tidak akan melarikan diri berikutan mereka mempunyai alamat tetap di Pulau Pinang.
Sementara itu, Edric turut memohon mahkamah menetapkan jaminan yang rendah berikutan anak guamnya masih belajar di sebuah kolej swasta.
"Anak guam saya masih belajar yang mana perbelanjaannya di kolej ditanggung sepenuhnya oleh ibu yang bekerja sendiri dengan pendapatan tidak menentu," katanya.
Noor Idayu menetapkan jaminan RM6,000 dengan seorang penjamin bagi setiap tertuduh.
Kes ditangguh sehingga 19 Oktober untuk serahan dokumen.
Sebelum ini Sinar Harian melaporkan Polis Pulau Pinang menahan 23 lelaki tempatan menerusi beberapa siri serbuan di negeri ini dan Selangor bagi membantu siasatan berkaitan kes merusuh menggunakan senjata di hadapan sebuah sekolah di Air Itam, Ogos lalu.
Polis turut mengesahkan pergaduhan bersenjata itu dipercayai tercetus akibat salah faham berkaitan isu hutang dan melibatkan kumpulan menggunakan nama Geng 04.
Siasatan polis mendapati hutang berkenaan tidak mempunyai kaitan dengan kegiatan pinjaman wang tidak berlesen.