SHAH ALAM – Sebuah destinasi warisan dan gaya hidup yang diberi nafas baharu telah diperkenalkan oleh Chinatown 1974 di Jalan Petaling, Kuala Lumpur, Sabtu lalu
Chinatown 1974 yang terletak di Jalan Petaling, Kuala Lumpur dibuka secara rasmi kepada orang ramai bermula Sabtu lalu dan menjadi destinasi warisan serta gaya hidup berkonsepkan era 1970-an.
Lokasi menghimpunkan pelbagai elemen termasuk makanan tempatan, penginapan, dan ruang menikmati pemandangan dari atas bumbung dalam satu bangunan.
Pengerusi Chinatown 1974 merangkap Pengasas iME Entertainment Group Asia, Datuk Brian Chow berkata, konsep berkenaan berteraskan falsafah ‘Moving Through Time’ mengambil inspirasi daripada suasana kehidupan di Jalan Petaling, pada era 1970-an.
“Elemen warisan tersebut diterapkan bersama reka bentuk dan pengalaman kontemporari bagi menarik generasi masa kini.
“Chinatown 1974 bukan sekadar mengimbau nostalgia masa lalu, sebaliknya menjadikan warisan sebagai inspirasi untuk pengalaman yang lebih relevan pada masa kini,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Menurut Brian, antara tarikan utama Chinatown 1974 ialah pengalaman kulinari yang menawarkan tiga konsep makanan dan minuman terletak di tiga tingkat terawal bangunan itu.
“Chinatown 1974 komited untuk menyediakan pengalaman menjamu selera mesra Muslim. Kesemua operasi makanan dan minuman kini juga sedang giat dalam usaha mendapatkan pensijilan Halal,” katanya.
HUAT n CO. di tingkat bawah dan mezanin mengetengahkan konsep kopitiam Malaysia era70-an dengan hidangan yang berteraskan semangat “Eat Like a Local” diilhamkan daripada budaya kopitiam yang menyatukan pelbagai generasi.
“Di tingkat satu pula, THIRTY-ONE MANSION mengetengahkan konsep dim sum Kantonis dan teh Nanyang dengan penggunaan bahan serta perisa tempatan seperti pandan, sate, kari dan rempah Nyonya.
“XI JU Charcoal Hotpot di tingkat dua menawarkan pengalaman hotpot menggunakan arang dengan dua pilihan utama iaitu Teochew Style Fish Soup Charcoal Hotpot dan Melaka Satay Celup Charcoal Hotpot,” tambahnya.
Tambah Brian, Twilight Terrace menawarkan ruang santai atas bumbung dengan pilihan teh, kopi dan kombucha sambil menikmati pemandangan Petaling Street, Menara Merdeka Maybank dan Menara Kuala Lumpur.
"Penginapan pula disediakan menerusi The Seven Stars Hotel di tingkat lima hingga tujuh, dengan 32 bilik yang terdiri daripada Standard Room, Deluxe Room, Premier Room dan Couple Suite.
"Turut menjadi tarikan ialah Durian Village di pintu masuk yang mengetengahkan pengalaman menikmati durian menerusi konsep ‘farm-to-plate’, selain AISICE yang menawarkan pencuci mulut ais kisar menerusi konsep trak bergerak," kata beliau.