KUALA LUMPUR – Lembaga Jurutera Malaysia (LJM) bakal melaksanakan penilaian akreditasi pertama di bawah kerangka baharu bagi program kejuruteraan berfokuskan Pengkomputeran dan Teknologi Maklumat (IT).
LJM dalam kenyataan pada Rabu memaklumkan, pelaksanaan menerusi Majlis Akreditasi Kejuruteraan itu membuka laluan kepada program yang layak untuk mendapat pengiktirafan dalam sistem akreditasi kejuruteraan negara.
Menurutnya, inisiatif menerusi Addendum B (1), Accreditation of Engineering Programmes with a Focus on Computing and Information Technology (IT) diperkenalkan mengambil kira perkembangan pesat teknologi serta peningkatan integrasi antara bidang kejuruteraan, pengkomputeran dan teknologi digital.
“Di bawah kerangka ini, program yang memenuhi kriteria kelayakan termasuk Kejuruteraan Perisian boleh dinilai berdasarkan aspek pengetahuan kejuruteraan, kemahiran, kompetensi dan hasil pembelajaran yang ditetapkan,” menurut kenyataan itu.
Menurut LJM, perkembangan teknologi pengkomputeran dan digital kini semakin menjadi sebahagian penting dalam proses reka bentuk, analisis, pembangunan sistem serta penghasilan penyelesaian terhadap cabaran kejuruteraan kompleks.
Perubahan itu turut mempengaruhi keperluan industri terhadap graduan kejuruteraan yang bukan sahaja perlu mempunyai asas kejuruteraan kukuh, malah menguasai keupayaan digital.
LJM menjelaskan, graduan daripada program yang mendapat akreditasi berkenaan berpotensi mempunyai laluan untuk mendaftar sebagai Jurutera Siswazah, tertakluk kepada syarat berkuat kuasa.
Mereka seterusnya berpeluang meneruskan laluan profesional ke arah pendaftaran sebagai Jurutera Profesional dan Jurutera Profesional dengan Perakuan Amalan selepas memenuhi semua syarat berkaitan.
Menurut kenyataan itu lagi, pendekatan berkenaan turut selari dengan amalan antarabangsa termasuk di Amerika Syarikat dan Australia yang membolehkan program tertentu menggabungkan bidang pengkomputeran dengan asas serta kompetensi kejuruteraan dinilai di bawah kerangka akreditasi kejuruteraan.
Bagaimanapun, pelaksanaan kerangka itu adalah secara sukarela dan berdasarkan permohonan Institusi Pengajian Tinggi (IPT).
Setiap program yang dikemukakan perlu memenuhi kriteria kelayakan dan standard akreditasi ditetapkan sebelum mendapat pengiktirafan.
Tambah LJM, inisiatif berkenaan bertujuan memastikan pendidikan kejuruteraan negara berkembang seiring perubahan teknologi, selain mengekalkan standard profesional, kompetensi dan kualiti dalam profesion kejuruteraan.