KUALA LUMPUR - Bekas Pengerusi Lembaga Tabung Haji, Datuk Seri Abdul Azeez Rahim kecewa dengan pertuduhan rasuah yang dihadapinya dan bertekad untuk membersihkan nama melalui proses perundangan.
Peguamnya, Datuk Amer Hamzah Arshad berkata, keadaan Abdul Azeez ketika ini adalah baik dan beliau kekal tenang dalam menghadapi proses undang-undang yang sedang berlangsung.
"Semangat yang dipamerkan Abdul Azeez membuktikan beliau tidak sama sekali akan berputus asa dalam mempertahankan diri serta menjelaskan kedudukannya di mahkamah.
“Beliau berkeadaan baik. Semangatnya masih kuat. Cuma sudah tentu beliau berasa kecewa," katanya dalam sidang akhbar di lobi Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur di sini pada Rabu.
Terdahulu, Abdul Azeez mengaku tidak bersalah atas satu pertuduhan menggunakan kedudukan berkaitan pelaburan RM193.5 juta dalam Putrajaya Perdana Berhad, 12 tahun lalu.
Mengulas prosiding tersebut, Amer Hamzah berkata, permohonan pihak pendakwaan supaya Abdul Azeez menyerahkan pasportnya kepada mahkamah sebagai syarat tambahan jaminan disifatkan tidak wajar oleh pihak pembelaan.
“Kami juga agak hairanlah kenapa ada syarat tambahan untuk pasport diserahkan sedangkan dalam kes Datuk Seri Ismail Sabri tak ada pun rayuan dibuat oleh pihak pendakwaan apabila mahkamah tidak memerintahkan sedemikian.
“Jadi, untuk kes ini, beliau (Abdul Azeez) bukannya bekas menteri, sebaliknya 'just an ordinary citizen'" katanya.