Nahas helikopter FDS: Operasi bawa keluar semua mangsa giat dijalankan
Iklan
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad (tengah) bercakap dalam sidang media khas berkaitan nahas helikopter Perkhidmatan Doktor Udara (FDS) di sebuah hotel di sini pada Rabu. Turut bersama Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Mahathar Abd Wahab (kiri). FOTO: SINAR HARIAN / MOHD HALIM ABDUL WAHID
KUALA LUMPUR – [DIKEMAS KINI] Operasi membawa keluar semua mangsa nahas helikopter Perkhidmatan Doktor Udara (FDS) yang terhempas berhampiran Lapangan Terbang Landasan Pendek (STOLport) Long Lellang, Ulu Baram, Sarawak pada petang Selasa sedang giat dijalankan pasukan penyelamat.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, operasi itu melibatkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), manakala Hospital Miri sudah bersedia sepenuhnya untuk menerima mangsa.
Iklan
Iklan
“Setakat laporan pagi ini, operasi membawa keluar mangsa sedang giat dijalankan oleh pasukan penyelamat iaitu PDRM dan JBPM.
“Selain itu, pihak Hospital Miri telah bersiap sedia sepenuhnya di semua peringkat untuk menerima mangsa sebaik sahaja mereka dibawa keluar dari lokasi kejadian,” katanya dalam sidang media di sini pada Rabu.
Iklan
Pada Selasa, Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) dalam kenyataan memaklumkan sebuah helikopter BO-105 yang membawa lima individu termasuk juruterbang terhempas berhampiran STOLport Long Lellang kira-kira 929 kilometer dari Kuching, Sarawak.
KKM dalam kenyataan memaklumkan helikopter yang berlepas dari Miri itu dikendalikan seorang juruterbang dan membawa seorang pegawai perubatan, seorang penolong pegawai perubatan (PPP) serta dua jururawat yang sedang menjalankan tugas rasmi.
Iklan
Antara mangsa disahkan oleh keluarga ialah Kapten Zainol Afiq Bee Sham, 31, dan Dr Ainul Baraah Kamarudin, 32. Sementara itu, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Seri Dr Mahathar Abd Wahab berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) bagi membawa keluar mangsa bermula jam 7.30 pagi tadi.
Menurutnya, lokasi nahas yang terletak jauh di kawasan pedalaman menjadi antara cabaran kepada pasukan penyelamat untuk sampai ke kawasan kejadian.
“Operasi bermula jam 7.30 pagi tadi dan seperti kita semua maklum, kawasan tersebut amat jauh di pedalaman.
“Jadi, kita perlu memastikan pasukan mencari dan menyelamat dapat sampai ke lokasi berkenaan,” ujarnya.
Kata beliau, perkembangan operasi itu akan dimaklumkan dari semasa ke semasa oleh komander operasi yang juga Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mohamad Zainal Abdullah.
<div itemscope itemtype="https://schema.org/VideoObject"><meta itemprop="name" content="Jerebu: Malaysia tunggu pengesahan Indonesia gerakkan aset bantuan - Fahmi"><meta itemprop="description" content="Malaysia masih menunggu pengesahan daripada pihak Indonesia untuk mengerakkan aset-aset yang boleh digunakan bagi membantu menangani kebakaran hutan di negara itu, yang mengakibatkan jerebu rentas sempadan.
Menteri Komunikasi yang juga jurucakap Kerajaan Madani, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata perkara itu dimaklumkan oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan Kementerian Luar (Wisma Putra) kepada Jemaah Menteri.
Artikel: https://www.sinarharian.com.my/article/795540/berita/nasional/jerebu-malaysia-tunggu-pengesahan-indonesia-gerakkan-aset-bantuan---fahmi
 Copyright disclaimer: Segala penyuntingan video adalah hak cipta terpelihara milik Sinar Harian.
#SinarHarian #BeritaSemasa #jerebu #FahmiFadzil #tanganijerebu"><meta itemprop="uploadDate" content="2026-09-09T11:42:17.000Z"><meta itemprop="thumbnailUrl" content="https://s1.dmcdn.net/d/1000002pgLFWw/x1080"><meta itemprop="duration" content="P93S"><meta itemprop="embedUrl" content="https://geo.dailymotion.com/player/xjdhm.html?video=xb5wspa"><meta itemprop="contentUrl" content="https://www.dailymotion.com/crawler/video/xb5wspa"><script src="https://geo.dailymotion.com/player/xjdhm.js" data-video="xb5wspa"></script>