KUALA LUMPUR – [DIKEMAS KINI] Bekas Pengerusi Lembaga Tabung Haji (TH), Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim memberitahu Mahkamah Sesyen di sini pada Rabu bahawa tuduhan kes rasuah yang dilempar terhadapnya sebagai suatu yang tidak benar.
Bekas Ahli Parlimen Baling berusia 60 tahun itu berkata demikian selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim, Azura Alwi.
"Saya faham pertuduhan itu, kenyataan kes rasuah berkenaan tidak benar sama sekali dan saya mohon dibicarakan," katanya yang memakai baju lokap polis berwarna unggu dalam keadaan bergari ketika berdiri di kandang tertuduh.
Semasa prosiding jaminan, peguam, Datuk Amer Hamzah Arshad yang mewakili Abdul Azeez meluahkan kekecewaan apabila pihak pendakwaan mencadangkan jumlah jaminan ditetapkan sebanyak RM1 juta dengan dua penjamin.
Bukan itu sahaja beliau berkata, pendakwaan meletakkan dua penjamin tempatan dan bukan ahli keluarga sebagai suatu yang tidak wajar.
Menurutnya, ahli politik berkenaan tidak menunjukkan sebarang risiko untuk melarikan diri malah tiada bukti dilampirkan bahawa anak guam berkemungkinan tidak akan hadir ke mahkamah.
"Memadai jaminan ditetapkan sebanyak RM100,000 dengan seorang penjamin, tidak kisah mana-mana individu asalkan warga tempatan termasuk ahli keluarganya.
"Tidak perlu letakkan syarat tambahan menyerahkan pasport kepada mahkamah namun kami sedia untuk memenuhi arahan melaporkan diri di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia sama ada tiga atau empat bulan sekali," katanya.
Selain Amer Hamzah pendakwaan turut diwakili peguam, Datuk Abu Bakar Isa Ramat, Ashok Athimulan dan Joshua Tay.
Pada Rabu, Abdul Azeez mengaku tidak bersalah atas satu pertuduhan menggunakan kedudukan berkaitan pelaburan RM193.5 juta dalam Putrajaya Perdana Berhad, 12 tahun lalu.
Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Ahmad Akram Gharib kemudian mencadangkan tertuduh diberi ikat jamin sebanyak RM1 juta dengan dua pejamin tempatan dan bukan ahli keluarga.
Ia termasuk syarat tambahan menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melaporkan diri di pejabat SPRM, tiga bulan sekali.
Selepas mendengar permohonan kedua-dua pihak, Hakim, Azura Alwi membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM450,000 dengan dua penjamin tempatan dan memenuhi syarat tambahan, melaporkan diri di pejabat SPRM tiga bulan sekali.
Mahkamah menetapkan 11 November depan untuk sebutan semula kes.
Abdul Azeez sebelum ini direman selama tujuh hari, bermula 27 Ogos hingga 2 September, bersama bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Mohd Irwan Serigar Abdullah, bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 23(1) Akta SPRM.
Siasatan itu susulan pendedahan dalam laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkaitan Tabung Haji.