KOTA BHARU - Bapa kepada Allahyarham Dr Ainul Baraah berlepas ke Miri, Sarawak hari ini dengan membawa beberapa barangan peribadi anaknya termasuk sikat rambut dan berus gigi bagi membantu proses pengesahan identiti melalui ujian asid deoksiribonukleik (DNA).
Kamarudin Salleh, 69, berkata beliau bersama isteri Rogayah Mohd Noor, 69, dan anak sulung mereka, Ainul Husna, 40, dijadual berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 2.
"Saya dimaklumkan oleh pihak polis untuk membawa beberapa barangan yang pernah digunakan oleh arwah termasuk sikat rambut dan berus gigi bagi tujuan proses DNA.
"Urusan penerbangan keluarga ke Miri diuruskan oleh pihak Layang-Layang Aerospace. Insya-Allah, kami sekeluarga akan berangkat ke Miri pagi ini pada 10.30 pagi dari KLIA Terminal 2,” katanya kepada Bernama hari ini.
Mengenai urusan pengebumian, Kamarudin berkata perkara itu masih belum diputuskan dan akan dibincangkan bersama keluarga besan serta suami Dr Ainul, Muhammad Faiz Abdul Malik.
ARTIKEL BERKAITAN: Helikopter Perkhidmatan Doktor Udara bawa lima penumpang terhempas - CAAM
Nahas helikopter: Status mangsa belum dipastikan, SAR sedang dijalankan – Polis Sarawak
Nahas helikopter: KKM hubungi waris, ahli keluarga mangsa
Nahas helikopter: KKM maklum Dr Ainul meninggal dunia - Keluarga
Residen Miri sahkan semua mangsa helikopter terhempas meninggal dunia
Nahas helikopter: Al-Fatihah buat Kapten Zainol Afiq - Adik ipar mangsa
Nahas helikopter: Ibu Dr Ainul pengsan terima khabar duka - Bapa
'Dr Ainul tak takut naik helikopter, bersemangat kerja di pedalaman'
Nahas helikopter: 'Dr Ainul mahu sambung belajar jadi doktor pakar' - Bapa kongsi perbualan terakhir
Nahas helikopter: 'Saya berdoa semoga Dr Ainul ditempatkan di syurga' - Ibu
Beliau berkata keluarga kini memberi tumpuan kepada urusan pengurusan jenazah Allahyarham selepas kejadian berkenaan.
Kamarudin yang juga pesara guru ketika ditemui pemberita semalam memaklumkan Dr Ainul Baraah, 32, bertugas di Hospital Miri dan tugas anaknya di Sarawak turut melibatkan pemantauan pesakit di beberapa kawasan termasuk Baram.
Semalam, Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) dalam kenyataan memaklumkan sebuah helikopter BO-105 yang membawa lima individu termasuk juruterbang terhempas berhampiran Lapangan Terbang Landasan Pendek (STOLport) Long Lellang, Ulu Baram, kira-kira 929 kilometer dari Kuching.
Menurut kenyataan CAAM, helikopter berkenaan sedang menjalankan operasi perkhidmatan doktor udara (FDS) ketika kejadian.
Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad dilaporkan berkata helikopter yang berlepas dari Miri itu dikendalikan seorang juruterbang dan membawa seorang pegawai perubatan, seorang penolong pegawai perubatan (PPP) serta dua jururawat yang sedang menjalankan tugas rasmi.
Dalam pada itu, Residen Bahagian Miri yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian Miri Galong Luang ketika dihubungi mengesahkan kesemua lima individu di dalam helikopter itu meninggal dunia dalam kejadian kira-kira 3.40 petang semalam. - Bernama