Honda Civic Type R ubah suai ekstrem RM150,000 antara 37 kenderaan disita JPJ

Iklan
Aedy Fadly (dua dari kanan) melihat antara kenderaan yang disita dalam Ops Ekstream pada Ahad.

KUALA LUMPUR – Sebuah Honda Civic Type R yang diubah suai secara ekstrem dengan kos dianggarkan mencecah RM150,000 antara 37 kenderaan yang disita dalam Ops Ekstrem yang dijalankan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di sekitar ibu negara pada Ahad.

Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, operasi berkenaan dilaksanakan susulan aduan dan maklumat daripada orang awam berhubung aktiviti pengubahsuaian kenderaan secara melampau sehingga menimbulkan gangguan bunyi serta ketenteraman awam.

Iklan
Iklan

“Operasi itu dijalankan dari jam 1 pagi hingga 5 pagi dan hasil pemeriksaan mendapati terdapat pelbagai kesalahan melibatkan kenderaan yang diubah suai secara tidak sah,” katanya pada sidang akhbar di Pejabat JPJ Kuala Lumpur pada Selasa.

Menurut beliau, sebanyak 156 kenderaan diperiksa sepanjang operasi tersebut dan 97 daripadanya diambil tindakan atas pelbagai kesalahan lalu lintas serta teknikal.

Iklan

Aedy Fadly berkata, antara kenderaan yang dikesan ialah sebuah Honda Civic Type R yang menjalani pengubahsuaian ekstrem dengan nilai keseluruhan dianggarkan RM150,000.

Selain itu, pihaknya turut mengesan sebuah kenderaan yang diubah suai sehingga kedudukan badan terlalu rendah dan hampir mencecah permukaan jalan.

Iklan

“Terdapat juga beberapa kenderaan yang menggunakan sistem suspensi udara (air suspension) dengan kos pengubahsuaian dianggarkan antara RM15,000 hingga RM25,000.

“Pengubahsuaian seperti ini tidak dibenarkan dan tidak mendapat kelulusan kerana boleh mendatangkan risiko keselamatan kepada pemilik kenderaan serta pengguna jalan raya lain,” katanya.

Aedy Fadly (kiri) melihat antara kenderaan yang disita dalam Ops Ekstrem pada Ahad.

Beliau berkata, sepanjang operasi berkenaan, JPJ telah mengeluarkan sebanyak 485 notis membabitkan pelbagai kesalahan.

Daripada jumlah itu, sebanyak 357 Notis JPJ(P)22 (saman), 38 Notis Seksyen 61(1) (arah periksa), 21 Notis PG(1) (larangan penggunaan kenderaan), 30 Notis JPJ(P)23 (arahan mengemukakan butiran) dan 37 Notis Seksyen 64(1) (sita) telah dikeluarkan.

Menurut beliau, antara kesalahan utama yang dikesan ialah nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi yang ditetapkan sebanyak 97 kes.

Kesalahan lain melibatkan penggunaan ekzos tidak mematuhi peraturan (77 kes), Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh (66 kes), tiada perlindungan insurans (57 kes), cermin gelap tidak mengikut spesifikasi (44 kes) serta pengubahsuaian bentuk kenderaan (11 kes).

“Jalan raya bukan tempat untuk mempamerkan pengubahsuaian ekstrem, menguji keupayaan kenderaan atau melakukan sebarang perbuatan yang boleh mengganggu dan mengancam keselamatan pengguna jalan raya lain,” katanya.

Aedy Fadly menegaskan bahawa Ops Ekstrem tidak akan terhad di Kuala Lumpur sahaja, sebaliknya akan diperluaskan ke seluruh negara bermula minggu ini.

“Mana-mana kenderaan yang melakukan pengubahsuaian tidak dibenarkan akan ditahan, disita dan dikenakan tindakan sewajarnya sehingga kenderaan tersebut dikembalikan kepada spesifikasi asal,” tegasnya.