Piala FA: Kelantan City tunjuk Negeri Sembilan jalan keluar

Iklan
Pemain Kelantan City, Muhammad Aqil Hilman Danial Roslan (kiri) diasak pertahanan Negeri Sembilan, Hajriey Hakim Mamat dalam aksi timbal balik Pusingan 16 Piala FA di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, pada Selasa. Foto: MFL

HASRAT Negeri Sembilan FC untuk melangkah ke suku akhir Piala FA tidak kesampaian apabila disingkirkan Kelantan City selepas tewas agregat 3-4 dalam aksi timbal balik pusingan 16 pada Selasa.

Turun di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, skuad Rusa bermula garang apabila Yusuke Minagawa membuka tirai jaringan seawal minit kelima menerusi tandukan untuk mengurangkan defisit agregat.

Iklan
Iklan

Akhyar Rashid kemudian menyamakan kedudukan agregat 2-2 pada minit ke-36 selepas menyempurnakan sepakan penalti susulan kekasaran penjaga gol Kelantan City, Mohammad Fikri Che Soh.

Bagaimanapun, Kelantan City bangkit lebih agresif pada babak kedua dan kembali di depan menerusi tandukan Dandy Arbdallah pada minit ke-52, hasil sepakan penjuru Muhammad Hadin Azman.

Iklan

Seminit berselang, Muhammad Asraff Alifuddin menambah derita tuan rumah apabila meledak gol kedua Kelantan City untuk meletakkan pasukan Liga A1 itu di depan secara agregat.

Negeri Sembilan tidak mengalah dan terus memburu jaringan, sebelum Park Yi-young kembali menghidupkan harapan tuan rumah dengan tandukan pada minit ke-89 hasil sepakan penjuru Jovan Motika.

Iklan

Namun, jaringan tersebut sekadar memberikan kemenangan 3-2 kepada Negeri Sembilan pada aksi timbal balik kerana Kelantan City tetap mara dengan kelebihan agregat 4-3.

Keputusan itu turut menyaksikan impian Negeri Sembilan untuk melangkah ke suku akhir terkubur selepas skuad Rusa tewas 0-2 dalam aksi pertama di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, pada 2 September lalu.