Kes rasuah RM1.6 juta: Individu ditahan bukan Exco atau pegawai kerajaan Johor - SPRM

Iklan
Abd Halim

PUTRAJAYA - Tangkapan seorang individu berhubung rasuah serta salah guna kuasa melibatkan jumlah kira-kira RM1.6 juta tidak melibatkan mana-mana Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco), pegawai atau agensi di bawah pentadbiran kerajaan negeri Johor.

Sebaliknya, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memaklumkan individu terbabit merupakan Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Lot Tapak Perumahan Generasi Ke-2 di Tanah Rancangan di Tenggaroh 2 Negeri Johor.

Iklan
Iklan

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman berkata, SPRM komited untuk menjalankan siasatan secara profesional, bebas dan telus.

"SPRM tidak akan berkompromi terhadap sebarang perlakukan rasuah atau salah guna kuasa," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Iklan

Sehubungan itu, SPRM meminta semua pihak agar tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak tepat khususnya yang membabitkan mana-mana individu atau pegawai kerajaan negeri berkenaan.

Sinar Harian sebelum itu melaporkan penahanan seorang pengerusi jawatankuasa perumahan sebuah badan berkanun persekutuan di Johor kerana disyaki terlibat meminta dan menerima rasuah serta menyalahgunakan kuasa dengan memperdaya pemohon tanah kerajaan dalam urusan permohonan lot tapak perumahan.

Iklan

Suspek lelaki berusia lingkungan 40-an itu dipercayai ditahan kira-kira jam 7.30 petang, Isnin ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Johor.

Siasatan awal mendapati suspek disyaki melakukan kesemua perbuatan tersebut antara tahun 2016 hingga 2025.

Suspek dipercayai telah menyalahgunakan kuasa dengan meminta wang kira-kira RM4,000 setiap seorang daripada 400 pemohon lot tapak rumah membabitkan jumlah keseluruhan kira-kira RM1.6 juta sebelum menyeleweng wang tersebut untuk kegunaan sendiri melalui pengeluaran daripada akaun bank jawatankuasa terbabit menggunakan invois palsu.

Pengarah SPRM Johor, Datuk Hairuzam Mohmad Amin@Hamim dilaporkan berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 16(a) (A), Sesyen 18 dan Sesyen 23 Akta SPRM 2009.