IACT College bolot tiga anugerah Raintown Film Festival

Iklan
Dari kiri ke kanan: Olivia Liew Wen Li, Esther Loh Zi Yew, Chloe Tan Koh Xin, Ain Syafiqah (Pensyarah), Hayley Zi Yen Barnes, Samuel Lee Zhi Hong, Tan Yik Xuen (Hadapan), Crystal Au Yong Yu Zheng, Faith Chan Xinyi, Amin Affendi (Pensyarah), Lim Xin Rou

SHAH ALAM – Pelajar IACT College meraih kesemua tiga anugerah dalam pertandingan Raintown Horizons, sempena Raintown Film Festival 2026 Edisi Ketiga di Taiping, Perak.

Tiga anugerah yang dipertandingkan ialah Filem Pendek Pelajar Terbaik yang dimenangi filem Off, manakala Before We Became Strangers dan Nevertheless masing-masing menerima Anugerah Sebutan Khas.

Iklan
Iklan

Majlis penyampaian anugerah berlangsung pada malam Ahad di Paragon Cinemas, Taiping Mall, selepas projek penerbitan filem berkenaan dilaksanakan selama tujuh minggu.

Ketua Pegawai Eksekutif IACT College, Timothy Chan berkata, penyertaan dalam festival berkenaan memberi peluang kepada pelajar berdepan cabaran penerbitan dalam suasana yang hampir dengan keperluan industri sebenar.

Iklan

“Raintown Film Festival menyediakan pentas sinematik sebenar kepada para pelajar kami dan mereka berjaya menghasilkan karya yang menyentuh hati para juri profesional.

“Ketika industri kreatif berkembang seiring kemunculan teknologi baharu dan kecerdasan buatan (AI), faktor pembeza sebenar tetap terletak pada keupayaan menghasilkan penceritaan visual yang autentik,” katanya.

Iklan

Dari kiri: Timothy Chan Liem Joe, Chloe Tan Koh Xin, Olivia Liew Wen Li, Esther Loh Zi Yew, Hayley Zi Yen Barnes, Ain Syafiqah Rosdi

Sementara itu Pensyarah Penyelia School of Digital Media Production, Ain Syafiqah Rosdi berkata, pelajar berdepan pelbagai cabaran sepanjang tempoh penerbitan termasuk semakan skrip, penyediaan jadual produksi dan penggambaran di lokasi.

Menurutnya, pelajar turut perlu mengimbangi keperluan klien dengan kebebasan kreatif dalam menghasilkan karya masing-masing.

Filem-filem pemenang akan ditayangkan sebagai sebahagian daripada program utama Raintown Film Festival Edisi Ketiga sepanjang September ini.

Raintown Film Festival merupakan acara perfileman berteraskan komuniti yang berlangsung di Taiping dengan mengetengahkan warisan serantau, penceritaan Malaysia dan bakat kreatif baharu.

Edisi ketiga festival itu berlangsung sepanjang September 2026 bersempena Tahun Melawat Malaysia 2026.