Liga Takraw Nasional Mekdi elak dominasi sekolah, kelab tertentu

Iklan
Mohammed Taufiq (tiga dari kiri) dan Azmir (tiga dari kanan) melakukan simbolik sempena Majlis Pelancaran Liga Takraw Nasional Mekdi 2026 di McDonald's Pantai Sentral Park di sini pada Selasa.

KUALA LUMPUR - Penganjur Liga Takraw Nasional Mekdi 2026 tidak mahu saingan pemain bawah 16 tahun dikuasai sekolah atau kelab tertentu, sebaliknya membuka ruang kepada lebih ramai bakat muda untuk mencuba nasib dalam kejohanan berkenaan.

Pengarah Urusan dan Rakan Operasi Tempatan McDonald's Malaysia, Datuk Azmir Jaafar berkata, penyertaan liga itu terbuka kepada semua pemain berusia 16 tahun dan ke bawah bagi memastikan peluang pembangunan bakat dapat diperluaskan.

Iklan
Iklan

Menurutnya, hanya empat pasukan terbaik dari setiap zon akan dipilih untuk berentap pada pentas akhir kebangsaan.

"Kita tidak mahu berlaku dominasi oleh sesebuah sekolah atau kelab dalam kejohanan ini.

Iklan

"Pada masa sama, kita akan tetapkan empat pasukan terbaik setiap zon untuk mara ke final kerana kita mahu memastikan tempoh pertandingan mencukupi dan perjalanan kejohanan lebih tersusun," katanya pada Majlis Pelancaran Liga Takraw Nasional Mekdi 2026 di McDonald's Pantai Sentral Park di sini pada Selasa.

Mohammed Taufiq (dua dari kanan) dan Azmir (dua dari kiri) melakukan simbolik sempena Majlis Pelancaran Liga Takraw Nasional Mekdi 2026 di McDonald's Pantai Sentral Park di sini pada Selasa.

Iklan

Liga anjuran bersama McDonald's Malaysia dan Harian Metro dengan sokongan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta Persekutuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) itu menawarkan hadiah keseluruhan berjumlah RM60,000 dan membabitkan tiga saingan zon sebelum pentas akhir kebangsaan pada November.

Saingan Zon Selatan/Tengah akan berlangsung pada 1 hingga 3 Oktober depan di Kompleks Sukan Paroi, Negeri Sembilan, diikuti Zon Utara pada 16 hingga 17 Oktober di The Arena of Sport, Sungai Petani, Kedah dan Zon Timur pada 20 hingga 21 November di Stadium Tertutup Gong Badak, Terengganu.

Pentas akhir pula dijadualkan berlangsung pada 28 hingga 29 November di Akademi Sepaktakraw Malaysia, Kuala Lumpur.

Azmir berkata, pihaknya turut mengambil kira jadual kejohanan Majlis Sukan Sekolah Daerah (MSSD) supaya pertandingan tidak bertembung dan memberi peluang kepada lebih ramai pemain serta kelab menyertai liga berkenaan.

"Kita cuba elakkan tarikh bertindih supaya penyertaan dapat berkembang dan lebih banyak kelab di sekitar zon yang ditetapkan dapat mengambil bahagian.

"Kita mahu beri peluang kepada pemain muda memperoleh pengalaman bertanding dalam suasana lebih tersusun selain merapatkan jurang tahap kemahiran antara pemain," tambah beliau.

Beliau berkata, sokongan ibu bapa juga penting dalam membantu melahirkan lebih ramai pemain sepak takraw berkualiti pada masa depan.

Katanya, kehadiran ibu bapa memberi sokongan kepada anak-anak ketika menyertai kejohanan mampu menjadi pencetus semangat kepada pemain muda untuk terus meningkatkan prestasi.

"Kita percaya sokongan mereka mampu membantu anak-anak ini berkembang dan membawa mereka lebih jauh dalam sukan sepak takraw," ujar beliau.

Sementara itu, Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari berkata, pembangunan bakat muda menerusi sukan perlu bermula dari peringkat akar umbi bagi memastikan kesinambungan atlet negara dapat diperkukuh secara berterusan.

Beliau memberitahu, usaha mencungkil bakat tidak seharusnya menunggu seseorang atlet mencapai usia 18, 19 atau 20 tahun, sebaliknya perlu dimulakan sejak di bangku sekolah.

Menurutnya, penganjuran Liga Takraw Nasional Mekdi misalnya menjadi antara platform terbaik untuk mengenal pasti serta mengembangkan bakat baharu dalam sukan sepak takraw.

"Usaha seperti ini akan sentiasa kita sokong bagi memastikan kelangsungan pembangunan sukan negara dapat diteruskan," ujar beliau.

Beliau berkata, pembangunan sukan negara tidak boleh hanya bergantung kepada kerajaan, kementerian, atlet, jurulatih dan persatuan sukan semata-mata, sebaliknya memerlukan kerjasama sektor korporat dan swasta.

Katanya, sokongan pihak swasta amat penting memandangkan pembangunan sukan memerlukan dana yang mencukupi bagi memastikan kebajikan atlet terjaga, selain membantu jurulatih dan persatuan menjalankan program dengan lebih berkesan.

"Kalau hanya kerajaan yang ingin membangunkan sukan, kita tidak akan ke mana-mana.

"Tetapi jika kita dapat menggembeleng tenaga bersama golongan korporat, swasta, masyarakat serta rakan-rakan daripada syarikat berkaitan kerajaan (GLC), pembangunan sukan ini dapat direalisasikan," tambah beliau.