BAGAN SERAI - Polis menumpaskan"Geng Man Kuda” dengan penahanan empat individu termasuk seorang wanita yang disyaki terlibat dalam kes samun dan curi kereta menerusi serbuan berasingan di Taiping di sini, dan Kulim, Kedah pada 30 Ogos lepas.
Ketua Polis Perak Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin berkata, kesemua suspek berusia 24 hingga 49 tahun itu disyaki terlibat dengan 28 kes jenayah samun dan curi kereta di Perak, Kedah serta Pulau Pinang sejak Jun lepas.
"Kumpulan ini mencuri kereta yang diletakkan di hadapan rumah menggunakan batang besi diubah suai dan melakukan samun ke atas mangsa di dalam rumah atau sedang berjalan seorang diri.
"Menerusi serbuan itu, polis turut merampas enam kenderaan curi antaranya Proton Wira, Toyota Vios, Honda Accord dan Naza Citra serta lain-lain barang kes dengan nilai keseluruhan kerugian dianggarkan RM200,000," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kerian di sini pada Selasa.
Mohd Alwi berkata, pihaknya sedang mengesan tiga lagi lelaki berusia 30 hingga 36 tahun kerana disyaki terbabit dengan geng berkenaan.
Dalam perkembangan lain, Mohd Alwi berkata, seorang lelaki tempatan berusia 35 tahun ditahan pada 7 Julai lepas kerana disyaki terbabit dengan kes khianat simbah cat dan bakar rumah sejak awal tahun ini.
Beliau berkata, hasil siasatan mendapati suspek ialah mangsa sindiket pinjaman along tetapi tidak mampu membayar hutang itu.
"....sindiket along akhirnya mengarahkan suspek melakukan khianat dan ugutan dengan cara menyimbah cat serta membakar rumah atau kenderaan mangsa pinjaman along yang gagal membayar hutang.
"Suspek turut memangga rumah mangsa serta meninggalkan nota ugutan. Setiap perbuatan itu, suspek akan dibayar upah oleh sindiket antara RM100 hingga RM400," katanya.
Mohd Alwi berkata, sindiket dipercayai beroperasi di luar negara dan suspek hanya berhubung dengan sindiket berkenaan melalui telefon atau Facebook.
Beliau berkata, suspek terlibat dalam 77 kes khianat dengan menyimbah cat serta membakar kenderaan dan rumah mangsa di sekitar Perak, Kedah dan Pulau Pinang.
"Usaha mengesan dan menangkap sindiket along terlibat sedang giat dilakukan.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan dan Seksyen 506 kanun yang sama," katanya. - Bernama