Rotan, buluh halang laluan, pendaki hanya sedar SAR selepas dengar helikopter

Iklan
Shafiee (kanan) bersama Hazman ketika ditemui pemberita.

GERIK - Halangan laluan yang dipenuhi rotan dan buluh menjadi punca dua malim gunung bersama empat sekeluarga lewat keluar dari trek asal ketika mengikuti pendakian Gunung Trans Gerah (Trans GBB) di kawasan Kem Kulim, di sini.

Malim Gunung, Shafiee Sidek, 49, berkata keadaan laluan yang semakin tertutup, terutama di laluan Gunung Bies ke Gunung Sepat, memaksa mereka menebas hampir sepanjang perjalanan, sekali gus melambatkan pergerakan kumpulan.

Iklan
Iklan

Shafiee (kanan) bersama Hazman, masing-masing berpengalaman lebih 20 tahun sebagai malim gunung ketika ditemui pemberita di IPD Gerik pada Selasa.

Menurutnya, selain perlu berdepan dengan kawasan berbuluh, mereka juga terpaksa bermalam berhampiran puncak Gunung Sepat susulan kekangan laluan.

Iklan

"Keadaan itu menyebabkan pergerakan menjadi perlahan dan kita terpaksa bermalam sebelum meneruskan perjalanan keesokan harinya," katanya ketika ditemui bersama rakannya, Hazman Mamat, 43, di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gerik, di sini, pada Selasa.

Ahli Persatuan Malim Gunung Kelantan itu berkata, atas faktor laluan yang teruk, mereka juga terpaksa mengambil keputusan memotong laluan dari Gunung Sepat ke Kampung Orang Asli Pos Agih.

Iklan

Katanya, walaupun laluan tersebut tidak pernah dilaluinya sebelum ini, pengalaman lebih 20 tahun sebagai malim gunung, termasuk mengendalikan laluan ‘off-track’, membantu mereka menilai risiko dengan lebih baik.

"Jika berpatah balik, kami perlu mengambil masa sehingga tiga hari dua malam tanpa jaminan sumber air mencukupi.

"Jadi, kita pilih untuk potong laluan sebab di kawasan caruk (anak sungai) ada sumber air. Itu lebih penting dan selamat," katanya.

Dalam pada itu, Shafiee berkata, sepanjang melalui kawasan berkenaan, mereka turut menemui pelbagai kesan tapak haiwan liar di sekitar puncak.

Katanya, antara kesan yang ditemui termasuk tapak gajah, rusa, tapir dan seladang, namun tiada sebarang pertembungan berlaku.

Beliau berkata, dalam keadaan itu juga, mereka sebenarnya tidak menyedari bahawa operasi mencari dan menyelamat (SAR) telah digerakkan bagi mengesan kumpulan berkenaan.

Menurutnya, hanya selepas terdengar bunyi helikopter di kawasan Gua Musang, barulah mereka menyedari kemungkinan operasi sedang dijalankan.

Tambahnya, ketika itu kumpulan berkenaan sudah melepasi beberapa lokasi, termasuk Gunung Agit dan Gunung Bongok, serta yakin mampu keluar melalui laluan sedia ada.

"Saya minta rakan nyalakan api bila dengar bunyi helikopter. Masa itu baru terfikir mungkin ada operasi mencari.

"Sebelum itu memang kami tidak tahu langsung dan hanya fokus untuk keluar dari laluan tersebut," katanya.

Terdahulu, operasi SAR mengesan kesemua mangsa digerakkan selepas mereka gagal keluar mengikut jadual di Pos Kemar pada 3 September lalu.

Keenam-enam individu itu dilaporkan memulakan pendakian merentas tiga puncak gunung, iaitu Gerah, Bilah dan Bieh (Trans GBB), pada 29 Ogos lalu.

Empat sekeluarga berkenaan ialah Wan Ahmad Aslam Wan Zairudin, 39, isterinya, Siti Zulaiha Norizan, 39, dan dua anak mereka, Diya Raisha, 13, serta Ahmad Raef, 9.