BANGKOK - Thailand memberi peringatan tegas kepada Israel supaya memastikan rakyatnya yang berkunjung ke negara itu menghormati budaya, tradisi dan undang-undang tempatan susulan beberapa insiden membabitkan warga Israel.
Menteri Luar Thailand, Sihasak Phuangketkeow menyampaikan perkara itu kepada Duta Israel, Alona Fisher-Kamm dalam satu pertemuan pada Selasa yang disifatkannya sebagai perbincangan secara terus terang.
Menurut Sihasak yang juga Timbalan Perdana Menteri, pertemuan itu memberi tumpuan kepada kebimbangan Thailand mengenai beberapa insiden membabitkan warga Israel yang tinggal di negara berkenaan termasuk pelancong dan individu yang menjalankan perniagaan.
Beliau berkata, terdapat warga Israel yang menjalankan perniagaan untuk tempoh panjang dan dilaporkan melanggar undang-undang Thailand.
Sihasak menegaskan pihak berkuasa akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu yang melakukan kesalahan tanpa mengira kewarganegaraan dan langkah itu bukan satu bentuk diskriminasi terhadap rakyat Israel.
‘Tidak boleh buat sesuka hati’
Menurutnya, kerajaan turut bimbang dengan tingkah laku segelintir pelancong Israel yang didakwa memberi kesan terhadap sensitiviti, budaya, tradisi dan cara hidup masyarakat tempatan, khususnya di Phangnga dan Phuket yang mempunyai komuniti Israel yang besar.
“Thailand merupakan negara yang mengalu-alukan pelancong. Tetapi itu tidak bermakna pengunjung, tanpa mengira kewarganegaraan, boleh melakukan apa sahaja yang mereka mahu di Thailand,” katanya.
Beliau bagaimanapun mengingatkan supaya tindakan segelintir individu tidak digeneralisasikan sebagai mewakili keseluruhan rakyat Israel.
Sihasak berkata, Duta Israel menyedari isu berkenaan dan kedutaannya telah menghantar pegawai ke kawasan terjejas bagi membantu menangani keadaan.
Namun, beliau mahu langkah lebih tegas dilaksanakan menerusi kerjasama kedua-dua negara bagi mengelakkan isu berkenaan menjejaskan hubungan Bangkok-Tel Aviv.
Garis panduan untuk pelancong Israel
Dalam pertemuan itu, Fisher-Kamm turut mencadangkan penyediaan panduan mengenai perkara yang boleh dan tidak boleh dilakukan oleh rakyat Israel ketika berada di Thailand.
Panduan itu boleh diedarkan menerusi Kedutaan Israel, konsulat, syarikat pelancongan dan syarikat penerbangan.
Sihasak menegaskan pelancongan bukan semata-mata mengenai pendapatan, sebaliknya pengunjung asing perlu menghormati maruah serta kebanggaan negara.
“Pelancong tidak boleh menganggap bahawa kerana mereka membawa wang ke Thailand, mereka boleh melakukan apa sahaja yang mereka mahu. Itu tidak boleh diterima,” katanya.
Peringatan itu dibuat selepas Thailand baru-baru ini mengambil tindakan pengusiran terhadap seorang warga Israel dan seorang warga Perancis susulan kes berasingan berkaitan pertikaian di Koh Samui. Kedua-duanya diberikan tempoh tujuh hari untuk merayu keputusan berkenaan. - Agensi