SUBANG — Lembaga Zakat Selangor (Zakat Selangor) menyasarkan kutipan zakat melalui potongan gaji warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Selangor mencecah RM1 juta menjelang 2028.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mohd Khaidzir Shahari berkata, sasaran itu disokong peningkatan 64.8 peratus jumlah pembayar zakat dalam kalangan warga ATM kepada 613 orang setakat Julai tahun ini, berbanding 372 orang pada tahun lalu.
Beliau berkata, berdasarkan prestasi semasa, kutipan zakat bagi 2026 dijangka meningkat kepada sekitar RM520,937 berbanding RM384,467.23 yang direkodkan pada 2025.
"Sehingga Julai sahaja, sebanyak RM290,937 telah berjaya dikutip.
"Perkembangan ini menunjukkan pencapaian yang baik, namun potensi penglibatan masih amat luas. Daripada kira-kira 3,718 warga Muslim ATM di Selangor, baru 16.5 peratus yang menunaikan zakat melalui Zakat Selangor," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Anda Hero Asnaf ATM 2.0 Tahun 2026 di Dewan Ababil, Pengkalan Udara Subang, di sini pada Selasa.
Hadir sama, Ketua Pengarah Kerohanian Islam ATM (KAGAT), Mejar Jeneral Datuk Mohd Rashidi Bujai; Komander Pengkalan Udara Subang, Brigedier Jeneral Yusri Jamari; Panglima 11 Briged Infantri, Brigedier Jeneral Datuk Pahlawan Safwan @ Asri Ismail; Timbalan Ketua Pengarah Operasi dan Pembangunan Insan, Brigedier Jeneral Datuk AB Jabar Mohamad Aris; serta Ketua Divisyen Kutipan Zakat Selangor, Mohd Fikri Naim Harun.
Mohd Khaidzir berkata, Zakat Selangor menyasarkan jumlah pembayar zakat dalam kalangan warga ATM meningkat kepada 1,000 orang menjelang 2027 sebelum kutipan mencapai RM1 juta pada 2028.
"Sasaran ini boleh dicapai sekiranya anggota meningkatkan caruman, selain menggalakkan warga ATM yang bertugas di Selangor untuk menyalurkan zakat ke negeri ini," katanya.
Mengulas usaha mencapai sasaran RM1 juta itu ketika ditemui pada sidang media selepas majlis, Mohd Khaidzir berkata, Zakat Selangor akan menyediakan perkhidmatan yang mesra selain turun padang ke kem ATM di seluruh Selangor bagi memudahkan proses pembayaran zakat melalui potongan gaji.
"Kita akan pergi ke tempat-tempat di mana beradanya anggota ATM ini di kem-kem di seluruh Selangor dan kita akan memudahkan proses potongan gaji mereka supaya mereka dapat mengetahui berapakah jumlah yang harus dibayar kepada Zakat Selangor.
"Kita juga akan pergi semula kepada mereka selepas dua tahun ataupun selepas tiga tahun untuk menyemak semula sama ada jumlah itu masih kekal ataupun perlu ditambahkan disebabkan kadang-kadang gaji mereka sudah menjadi lebih baik," katanya.
Beliau berkata, program berstruktur yang dilaksanakan dengan kerjasama pegawai pemerintah ATM diyakini dapat memastikan kelestarian kutipan zakat dalam kalangan anggota pasukan berkenaan.
Katanya lagi, terdapat juga anggota ATM yang masih belum menukar pembayaran zakat mereka kepada Selangor walaupun kini bertugas di negeri itu.
Menurutnya, perkembangan positif yang dicatatkan tahun ini memberi keyakinan kepada Zakat Selangor untuk menyasarkan kutipan zakat warga ATM di Selangor sekurang-kurangnya RM1 juta menjelang 2028.
Program Anda Hero Asnaf ATM 2.0 adalah inisiatif kerjasama strategik antara Zakat Selangor dan Kor Agama Angkatan Tentera Malaysia (KAGAT) yang diperkenalkan sejak 2025.
Inisiatif itu bertujuan memperkasa kesedaran mengenai kewajipan zakat, menyediakan akses kepada kemudahan potongan gaji secara automatik serta memastikan kelestarian kebajikan golongan asnaf.
Mengulas lanjut, Mohd Khaidzir menekankan kepentingan warga ATM menunaikan zakat di negeri tempat mereka bertugas, khususnya di Selangor.
Katanya, ia penting kerana permohonan bantuan zakat oleh anggota yang berdepan kesulitan kelak turut dibuat di Selangor.
Dalam pada itu, Zakat Selangor menyeru ATM menjadi 'Agensi Inspirasi', iaitu agensi sektor awam pertama yang mencapai penyertaan 100 peratus dalam potongan gaji zakat.
Pada majlis itu, Zakat Selangor turut menyerahkan pulangan Wakalah Majikan berjumlah RM48,058.40 kepada ATM untuk diagihkan kepada sembilan formasi dan pasukan terpilih di Selangor bagi pelaksanaan inisiatif kebajikan serta kerohanian anggota.
Mohd Khaidzir berkata, pulangan Wakalah Majikan itu adalah hasil daripada potongan gaji zakat anggota ATM di Selangor.
Katanya, kira-kira 12.5 peratus daripada kutipan berkenaan dipulangkan kepada kem terbabit untuk digunakan bagi tujuan kerohanian serta membantu warga kerja ATM yang berdepan kesukaran atau cabaran dalam meneruskan kehidupan.
"Apabila kita pulangkan lebih kurang 12.5 peratus kepada kem-kem tersebut, mereka akan menggunakan wang wakalah ini untuk perkara-perkara kerohanian ataupun perkara yang bersifat membantu warga kerja ATM sendiri yang menghadapi kesukaran ataupun cabaran untuk mereka meneruskan hidup.
"Jadi, wang wakalah ini boleh digunakan untuk tujuan tersebut," katanya.