Putera MIC gesa tiga reformasi segera sistem pendidikan

Iklan
Shatesh juga meminta kerajaan menjelaskan status kajian dan penambahbaikan Pendidikan Moral yang diarahkan Menteri Pendidikan pada 3 Mei lalu.

KUALA LUMPUR - Putera MIC menggesa kerajaan melaksanakan reformasi segera dalam sistem pendidikan negara, khususnya membabitkan laluan pendidikan tinggi yang memberi kesan langsung kepada generasi muda.

Ketua Putera MIC Kebangsaan, Dr Shatesh Kumar Sangar berkata, tiga perkara yang perlu diberi perhatian ialah syarat automatik 10A bagi Program Matrikulasi, penyelarasan ekosistem prauniversiti serta status reformasi Pendidikan Moral.

Iklan
Iklan

Menurutnya, dasar memberikan tempat secara automatik kepada semua 6,717 calon SPM 2025 yang memperoleh 10A dan ke atas bagi sesi 2026/2027 adalah langkah baik kerana ia dilaksanakan tanpa mengira kaum dan latar belakang.

"Kerajaan perlu mewujudkan laluan kecemerlangan setara bagi pelajar 8A atau 9A mengikut jumlah maksimum mata pelajaran yang ditawarkan sekolah," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Iklan

Beliau turut menggesa kerajaan menerbitkan secara tahunan jumlah pemohon, tawaran, rayuan dan kemasukan akhir ke Program Matrikulasi mengikut kaum serta kategori B40 bagi memastikan ketelusan dalam proses berkenaan.

Dalam pada itu, Shatesh berkata, ekosistem prauniversiti juga perlu diselaraskan di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) bagi mewujudkan laluan pendidikan yang lebih tersusun dan telus.

Iklan

Katanya, ketika ini Program Matrikulasi serta Tingkatan Enam/STPM berada di bawah ekosistem Kementerian Pendidikan (KPM), manakala program Asasi Universiti Awam dan universiti pula berada dalam ekosistem KPT.

"Program Matrikulasi telah wujud sejak 1998 dan selepas hampir tiga dekad, sudah tiba masanya strukturnya dinilai semula.

"Kerajaan perlu mengkaji penyelarasan laluan prauniversiti di bawah KPT supaya kemasukan prauniversiti, UPU dan kapasiti program universiti dapat dirancang dalam satu ekosistem yang lebih tersusun, telus dan bertanggungjawab," katanya.

Sementara itu, beliau meminta kerajaan menjelaskan status kajian dan penambahbaikan Pendidikan Moral yang diarahkan Menteri Pendidikan pada 3 Mei lalu.

"Persoalannya mudah, apa status kajian tersebut? Adakah format peperiksaan, kaedah pemarkahan dan struktur Pendidikan Moral yang baharu akan diperkenalkan bagi tahun 2027?

"Apabila terdapat kelemahan, kita reform dan apabila terdapat ketidakadilan, kita betulkan, masa depan anak muda mesti menjadi keutamaan," katanya.