IPOH – [DIKEMAS KINI] Sebanyak 51 projek perumahan sakit dan enam projek perumahan swasta terbengkalai direkodkan di Perak berdasarkan data rasmi portal TEDUH di bawah Jabatan Perumahan Negara (JPN), Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).
Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Perak, Sandrea Ng Shy Ching berkata, projek sakit ditakrifkan sebagai projek yang mengalami kelewatan melebihi 30 peratus berbanding kemajuan sepatutnya atau telah melepasi tempoh Perjanjian Jual Beli.
Menurutnya, projek terbengkalai pula berada pada tahap lebih serius apabila antaranya tiada aktiviti pembinaan yang ketara selama enam bulan secara berterusan sebelum disahkan di bawah Akta 118.
“Berdasarkan data rasmi portal TEDUH, terdapat enam projek perumahan swasta terbengkalai dan 51 projek sakit di Negeri Perak.
“Dari segi bidang kuasa, pemantauan dan pemulihan projek ini berada di bawah JPN, KPKT. Di peringkat negeri, LPHP memberi perhatian khusus kepada projek yang melibatkan Rumah Perakku,” katanya ketika menjawab soalan Dr Najihatussalehah Ahmad (PN-Bota) sempena Mesyuarat Kedua Tahun Keempat Dewan Negeri Perak Ke-15 di sini pada Selasa.
Sandrea berkata, bagaimanapun kerajaan negeri tidak hanya menunggu tindakan Kerajaan Persekutuan sekiranya sesuatu projek memerlukan tindakan dan penyelarasan di peringkat negeri.
Katanya, antara contoh signifikan ialah projek D'Aman Residensi di Meru Raya yang diberi perhatian khusus bagi memastikan isu berkaitan projek itu dapat diselesaikan satu persatu.
“Pemulihan D'Aman bukan sekadar meminta pemaju masuk semula ke tapak. Ia memerlukan LPHP bersama JPN, MBI, agensi teknikal, utiliti dan pemaju menyelesaikan isu termasuk kemajuan fizikal, keperluan teknikal dan utiliti, hak milik strata serta proses mendapatkan CCC (Sijil Perakuan Siap dan Pematuhan).
“Banyak kerja berlaku di belakang tabir termasuk mesyuarat teknikal, lawatan tapak, pemantauan dan susulan berulang kali sehingga akhirnya dua blok membabitkan 480 unit memperoleh CCC pada 16 April 2026,” katanya.
Beliau berkata, sejak Julai lalu, pembeli juga mula menerima kunci kediaman masing-masing, manakala satu lagi projek oleh Osakan Holdings Sdn Bhd yang sebelum ini berstatus projek sakit dan membabitkan komponen Rumah Perakku I berjaya disiapkan serta memperoleh CCC pada 7 Mei 2026.
Dalam pada itu, Sandrea berkata, kerajaan negeri mengambil pendekatan secara kes demi kes bagi memulihkan projek bermasalah dengan mengenal pasti punca sebenar yang menjadi penghalang kepada kemajuan projek.
Katanya, kerajaan negeri mewujudkan Jawatankuasa Kecil Pemantauan Projek Sakit dan Pemulihan Projek Terbengkalai (JKPSPT) yang menghimpunkan Lembaga Perumahan dan Hartanah Perak (LPHP), Jabatan Perumahan Negara (JPN), pihak berkuasa tempatan (PBT), Pejabat Tanah dan Galian (PTG) serta agensi teknikal untuk melihat setiap projek secara khusus.
Beliau berkata, pemudahcaraan kerajaan negeri boleh melibatkan antaranya mempercepatkan proses tertentu, lanjutan tempoh, pertimbangan pengurangan atau pengecualian caj tertentu serta penyelarasan syarat teknikal, infrastruktur dan utiliti.