‘Keputusan mahkamah harus buka mata pimpinan kesatuan sekerja' - Naib Presiden MTUC

Iklan
Menurut Ismail, keputusan mahkamah itu turut mengesahkan bahawa KPKS mempunyai kuasa dan tanggungjawab untuk memastikan tadbir urus kesatuan sekerja dilaksanakan selaras dengan kehendak Akta Kesatuan Sekerja 1959.

SHAH ALAM – Keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang menolak permohonan semakan kehakiman terhadap tindakan Ketua Pengarah Kesatuan Sekerja (KPKS) diharap dapat membuka mata seluruh barisan pimpinan kesatuan sekerja yang bergabung di bawah Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC).

Naib Presiden MTUC, Ismail Ali berkata, pimpinan kesatuan sekerja perlu sentiasa menjunjung prinsip kedaulatan undang-undang, ketelusan, akauntabiliti serta tadbir urus yang baik.

Iklan
Iklan

Katanya, kepentingan pekerja dan ahli kesatuan hendaklah sentiasa diutamakan mengatasi kepentingan tindakan kelompok tertentu.

“Keputusan tersebut merupakan penegasan jelas bahawa tindakan KPKS dalam melaksanakan fungsi pengawalseliaan kesatuan sekerja adalah sah di sisi undang-undang,” katanya dalam kenyataan.

Iklan

Menurut Ismail, keputusan mahkamah itu turut mengesahkan bahawa KPKS mempunyai kuasa dan tanggungjawab untuk memastikan tadbir urus kesatuan sekerja dilaksanakan selaras dengan kehendak Akta Kesatuan Sekerja 1959.

Katanya, mahkamah juga memutuskan bahawa tindakan KPKS adalah sah berdasarkan kuasa siasatan yang diperuntukkan di bawah Seksyen 4A Akta Kesatuan Sekerja 1959.

Iklan

Ismail yang juga Presiden Kesatuan Pekerja-Pekerja Pos Unis (UPUS) berkata, kes tersebut timbul susulan keputusan KPKS pada 9 Mei 2024 yang tidak mendaftarkan Kamarul Baharin Mansor sebagai Setiausaha Kesatuan bagi sesi 2023 hingga 2026 berikutan isu berkaitan status pekerjaannya.

Menurutnya, isu utama yang dipertimbangkan mahkamah adalah berhubung status Kamarul sebagai seorang ‘pekerja’ serta kelayakannya untuk memegang jawatan dalam kesatuan sekerja di bawah Seksyen 26(1A) Akta Kesatuan Sekerja 1959.

Katanya, berdasarkan keputusan tersebut, kedudukan dan kelayakan Kamarul untuk memegang atau bertanding jawatan dalam kesatuan sekerja sepanjang tempoh berkaitan termasuk semasa pemilihan pada Persidangan Perwakilan Tiga Tahunan (TDC) MTUC pada 3 Ogos 2025, hendaklah dinilai berasaskan dapatan mahkamah, keputusan KPKS serta peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.

“Perkara ini menunjukkan bahawa pematuhan kepada syarat kelayakan yang ditetapkan undang-undang bukanlah suatu pilihan, sebaliknya satu kewajipan yang mesti dihormati oleh semua pihak.

“Sehubungan itu, sebarang keputusan atau tindakan yang dibuat oleh mana-mana individu yang kelayakannya dipertikaikan boleh diteliti, disemak atau dicabar melalui saluran undang-undang serta mekanisme tadbir urus yang sewajarnya,” ujarnya.

Ismail berkata, pendekatan tersebut penting bagi memastikan organisasi dan keyakinan ahli kesatuan terus terpelihara.

Dalam pada itu, beliau mendakwa sejak TDC pada 3 Ogos 2025 sehingga kini, masa dan penumpuan banyak tertumpu kepada masalah dalaman yang tidak berkesudahan dalam kalangan Jawatankuasa Kerja (WC) MTUC sendiri.

Beliau turut mendakwa, tindakan Kamarul termasuk untuk mengadakan Persidangan Perwakilan Khas (SDC) pada 4 Oktober 2026 di Pusat Konvensyen (IDCC), Shah Alam dibuat dengan membelakangkan Jawatankuasa Kerja MTUC.

Menurutnya, agenda pada SDC berkenaan juga tidak dibincangkan bersama dalam Jawatankuasa Kerja MTUC.

“Kebebasan berkesatuan merupakan hak yang perlu dihormati dan dipelihara. Namun begitu, kebebasan tersebut hendaklah dilaksanakan dalam kerangka undang-undang yang ditetapkan.

“Kedaulatan undang-undang kekal menjadi asas penting dalam melindungi hak pekerja, memperkukuh institusi kesatuan sekerja dan memastikan hubungan perusahaan negara terus kekal adil, teratur dan harmoni,” kata beliau.