Kerajaan teliti usaha tingkat pendapatan pekebun kecil, pastikan agrikomoditi pacu ekonomi - Anwar

Iklan
Anwar menyampaikan ucapan pada Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Perladangan dan Komoditi pada Selasa. Foto Bernama

PUTRAJAYA - Kerajaan sedang meneliti usaha bagi meningkatkan pendapatan pekebun kecil dan memastikan sektor agrikomoditi terus menjadi pemacu pertumbuhan ekonomi negara, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata, kerajaan akan terus memperkukuh sektor agrikomoditi menerusi peningkatan produktiviti, penggunaan teknologi dan pembangunan rantaian nilai yang lebih berdaya tahan.

Iklan
Iklan

"Keutamaan pertama kita ialah pembasmian kemiskinan. Kedua, untuk membantu peniaga kecil daripada pengusaha warung dan restoran, sehinggalah pekedai kecil kerana masalah mereka juga semakin meningkat,” kata beliau ketika berucap pada Majlis Perjumpaan Bersama Warga Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) di sini pada Selasa.

Beliau berkata, antara inisiatif yang dirangka termasuk Pemerkasaan Usahawan Hiliran Sektor Agrikomoditi (RM17.05 juta), Tabung Bencana dan Kawalan Penyakit Sektor Agrikomoditi (RM28.57 juta), Projek Jalan Ladang Pekebun Kecil Persendirian (RM100 juta) dan Program Tanam Semula Pekebun Kecil Sawit (TSPKS) 2.0 berjumlah RM280.03 juta.

Iklan

Perdana Menteri berkata, Program Pembiayaan Tanam Semula Sawit (PTSS) juga akan diteruskan bagi membantu meningkatkan produktiviti dan pendapatan pekebun kecil dalam jangka panjang.

Menurut Anwar yang juga Menteri Kewangan, projek jalan ladang pekebun kecil itu juga dijangka memberi impak langsung kepada peningkatan produktiviti pekebun kecil, terutama menerusi penyediaan infrastruktur asas yang bersesuaian dengan keperluan di kawasan ladang.

Iklan

"Disebabkan itu saya kata jalan-jalan ini perlu (ditambah baik) dengan kadar yang sederhana, tidak terlalu canggih, dan PTSS untuk kebun kecil yang berdepan dengan kekangan modal, tetapi bagi tanaman sekitar 10 hingga 40.46 hektar. Ini yang dirumuskan oleh KPK,” kata beliau.

Dalam pada itu, Perdana Menteri berkata, kerajaan turut memberi perhatian kepada kebajikan pekebun kecil getah menerusi peningkatan Insentif Pengeluaran Getah (IPG) sebanyak dua kali di bawah Kerajaan MADANI.

Beliau berkata, kadar IPG yang sebelum ini RM2.50 sekilogram pada 2019 dinaikkan kepada RM2.70 sekilogram pada 2023 dan seterusnya RM3 sekilogram pada 2024.

"Pada 2023, setahun setelah kita mengambil alih Kerajaan MADANI, kita naikkan kepada RM2.70. Kita dengar keluhan pekebun kecil, dan pada 2024, meningkat kepada RM3,” kata Anwar.

Bagi pekebun kecil sawit pula, beliau berkata, bermula 2024, kerajaan menambah baik pendekatan pembiayaan tanaman semula daripada 100 peratus pinjaman kepada kaedah hibrid iaitu 50 peratus geran dan 50 peratus pinjaman mudah pada kadar faedah serendah dua peratus, melibatkan peruntukan RM100 juta.

Menurut Perdana Menteri, kerajaan turut meningkatkan peruntukan penyelenggaraan jalan ladang di seluruh negara kepada RM50 juta pada 2026 berbanding RM8 juta pada 2022.

Beliau berkata, setakat September 2026, kira-kira 270,000 pekebun kecil termasuk pengusaha kecil sawit, getah, koko, lada dan kenaf menerima bantuan tunai BUDI Agri-Komoditi sebanyak RM400 sebulan. - Bernama