KUANTAN - Individu yang memilih untuk bekerja dengan kanak-kanak perlu memahami bahawa tugas berkenaan bukan sekadar pekerjaan, sebaliknya amanah besar yang menuntut kesabaran, tanggungjawab dan keupayaan melindungi golongan berkenaan.
Pengerusi Persatuan Pendidik Awal Kanak-kanak (PPAKK) Pahang, Zubaidah Husin berkata, kanak-kanak merupakan golongan kecil dan lemah yang memerlukan perlindungan daripada orang dewasa yang diberikan kepercayaan untuk menjaga mereka.
“Jika kita semua memilih untuk bekerja dengan kanak-kanak, pastikan kita sedar yang kita sedang memikul amanah yang sangat besar.
Beliau berkata demikian ketika mengulas dua kes melibatkan dakwaan tindakan kasar pengasuh terhadap kanak-kanak di Temerloh dan Kuantan yang mendapat perhatian umum.
Pada Isnin, dua wanita yang bekerja di dua taska berasingan di Mentakab dan Kuantan direman selama enam hari bermula hari ini hingga 12 September bagi membantu siasatan berhubung dakwaan mengasari kanak-kanak di bawah jagaan mereka.
Pemangku Ketua Polis Pahang, Datuk Azry Akmar Ayob dilaporkan kedua-dua suspek masing-masing direman di Mahkamah Majistret Temerloh dan di Mahkamah Majistret Kuantan selepas ditahan susulan laporan polis serta penularan rakaman video kejadian di media sosial.
Pada Sabtu, Sinar Harian melaporkan polis membuka kertas siasatan berhubung dakwaan seorang pengasuh melakukan kekasaran terhadap kanak-kanak perempuan berusia dua tahun di sebuah taska di Mentakab.
Kes disiasat mengikut Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001 selepas ibu mangsa membuat laporan dan polis mengesan rakaman kejadian yang tular di media sosial.
Pada Ahad, seorang wanita berusia 31 tahun pula ditahan bagi membantu siasatan berhubung dakwaan mengasari kanak-kanak lelaki berusia dua tahun lapan bulan di sebuah taska di Bukit Setongkol, Kuantan.
Kejadian dipercayai berlaku pada 11 Ogos lalu, manakala rakaman yang tular menunjukkan mangsa dimarahi, ditarik rambut serta digoncang kepalanya. Mangsa turut dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) untuk pemeriksaan lanjut.
Mengulas lanjut, Zubaidah berkata, pengusaha dan pengasuh taska yang berdepan dakwaan melakukan kesalahan perlu memberikan kenyataan secara telus serta bekerjasama dengan polis sepanjang siasatan dijalankan.
“PPAKK Pahang biasanya akan memberi nasihat dan sokongan kepada pengusaha taska dan pengasuh yang melakukan kesalahan supaya bekerjasama dengan pihak polis dan dalam memberi sebarang kenyataan.
Dalam masa sama, beliau menjelaskan PPAKK Pahang tidak menjalankan pemantauan secara langsung terhadap operasi mana-mana taska.
Sebaliknya katanya, persatuan menjadi platform untuk ahlinya berkongsi maklumat dan berbincang mengenai kualiti pengendalian taska dari semasa ke semasa.
Pemantauan berkala terhadap taska dijalankan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), manakala pengusaha perlu memastikan aspek keselamatan diberikan perhatian secara berterusan.
Menurut Zubaidah, hubungan baik antara pengurusan dengan kakitangan juga penting bagi memastikan setiap pengasuh sentiasa peka terhadap peraturan dan akta yang ditetapkan.
“Peningkatan keselamatan adalah tanggungjawab pengusaha taska,” ujarnya.
Sementara itu, Zubaidah turut mengingatkan ibu bapa supaya mengambil tindakan sekiranya mempunyai kebimbangan terhadap keselamatan anak ketika berada di taska.
Katanya, berdasarkan garis panduan keselamatan yang dikeluarkan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), ibu bapa boleh melihat rakaman kamera litar tertutup (CCTV) sekiranya mengesyaki berlaku sesuatu di luar jangkaan.
“Jika ibu bapa mengesyaki ada sesuatu yang di luar jangkaan mereka, mereka boleh melihat CCTV mengikut garis panduan keselamatan yang dikeluarkan oleh JKM,” katanya.