IPOH - Polis menahan tiga pekerja sebuah kilang di kawasan perindustrian Pulai Jaya di sini selepas disyaki terlibat dalam kes kecurian bahan produksi bernilai tinggi, membabitkan kerugian RM355,000.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Muhammad Najib Hamzah berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada 7 September lalu selepas syarikat terbabit mengesan kehilangan bahan yang digunakan dalam proses pengeluaran.
Menurutnya, siasatan awal mendapati sebanyak 64 gulung bahan produksi dilaporkan hilang dari premis berkenaan.
"Bertindak atas laporan itu, polis menahan tiga pekerja syarikat terdiri daripada dua lelaki dan seorang wanita berusia antara 28 hingga 35 tahun bagi membantu siasatan.
Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 381 Kanun Keseksaan kerana mencuri dalam bangunan.
Tambahnya, kesemua suspek yang ditahan akan dibawa ke Mahkamah Ipoh pada Selasa bagi permohonan reman.
"Polis masih meneruskan siasatan bagi mengenal pasti jumlah sebenar kehilangan, nilai kerugian serta peranan setiap individu yang terlibat," katanya.