TEHERAN - Kerajaan Iran mengumumkan kenaikan mendadak harga bahan api ketika negara itu berdepan krisis ekonomi yang teruk sejak perang bermula, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Mulai Selasa, harga seliter petrol di pasaran terbuka akan meningkat dua kali ganda daripada 50,000 rial (RM2.00) kepada 100,000 rial (RM4.00), kata Pengerusi Syarikat Pengedaran Produk Petroleum milik kerajaan Keramat Weys-Karami menerusi televisyen kerajaan.
Bagaimanapun, harga petrol bersubsidi kekal tidak berubah, katanya.
Harga bahan api di Iran adalah antara yang termurah di dunia. Rakyat Iran boleh mengisi tangki kenderaan mereka dengan 110 liter pertama petrol menggunakan kad subsidi bahan api pada harga hanya lebih US$0.01 seliter. Selepas kuota itu habis digunakan, harga biasa 100,000 rial seliter akan dikenakan.
Walaupun harga itu rendah mengikut piawaian Barat, kesannya tetap besar di Iran memandangkan pendapatan rakyatnya jauh lebih rendah, khususnya terhadap kos pengangkutan, harga tenaga dan inflasi.
Pada akhir Ogos, kebimbangan mengenai kekurangan bekalan menyebabkan barisan panjang di stesen minyak. Di bandar raya Tehran yang mempunyai jutaan penduduk, pemandu malah menunggu di hadapan stesen minyak pada tengah malam.
Kerajaan mengakui wujud masalah akibat perang yang dilancarkan Amerika Syarikat (AS) dan Israel terhadap negara itu pada akhir Februari. Presiden Masoud Pezeshkian menggesa kerajaan dan rakyat supaya berjimat cermat. - Bernama