GERIK - Enam pendaki yang ditemui selamat selepas dilaporkan hilang ketika mengikuti ekspedisi pendakian merentasi tiga puncak gunung di Banjaran Titiwangsa iaitu Gerah, Bilah, dan Bieh (Trans GBB) dijangka dibawa keluar dari kawasan berkenaan esok.
Ketua Polis Gerik, Superintenden Abdul Samad Othman berkata, pihaknya menerima maklumat daripada salah seorang mangsa menerusi panggilan telefon pada jam 5 petang yang memaklumkan kesemua mereka berada dalam keadaan selamat dan kini berada di Gunung Bongok.
Menurutnya, kesemua mangsa sedang bergerak menuju ke Pos Kemar dengan jarak antara Gunung Bongok dan Pos Kemar dianggarkan sejauh 14.3 kilometer yang mengambil masa pendakian antara enam hingga lapan jam.
"Susulan maklumat diterima, strategi pencarian disusun semula dengan satu pasukan terdiri daripada 11 anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Jabatan Perhutanan Perak dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dihantar ke Kem Kulim menggunakan helikopter JBPM.
"Jarak Kem Kulim ke Gunung Bongok kira-kira 4.3 kilometer atau dua jam perjalanan. Pasukan penyelamat akan bergerak naik ke Gunung Bongok, manakala mangsa dijangka turun dari Gunung Bongok menuju ke Kem Kulim," katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Abdul Samad berkata, pasukan penyelamat dijangka bertemu dengan keenam-enam mangsa di antara Kem Kulim dan Gunung Bongok.
Katanya, sekiranya mangsa berjaya ditemui malam ini, mereka akan bermalam di lokasi berkenaan dan dibawa keluar pada pagi esok atas faktor keselamatan.
Sementara itu, Pengarah JBPM Perak, Datuk Sayani Saidon berkata, pesawat Mi-17 JBPM dari Pangkalan Udara Subang tiba di Pos Kemar pada jam 4.30 petang bagi membantu operasi SAR.
Beliau berkata, hasil tinjauan udara mendapati mangsa dipercayai telah membuat isyarat asap dengan anggaran lokasi kira-kira sejam perjalanan dari Kem Kulim.
"Pesawat membawa 11 anggota SAR terdiri daripada lima anggota JBPM, empat PDRM, seorang Perhutanan dan seorang malim gunung ke Kem Kulim.
"Kesemua 11 anggota SAR diturunkan menggunakan teknik 'winching' berikutan tiada lokasi pendaratan yang paling hampir dengan kedudukan mangsa," katanya.
Menurut Sayani, pasukan SAR turut dibantu 14 MGP yang bergerak melalui laluan pendakian, menjadikan keseluruhan pasukan berhampiran dengan mangsa seramai 25 orang.
Terdahulu, operasi SAR digerakkan selepas keenam-enam individu terbabit gagal keluar mengikut jadual di Pos Kemar pada 3 September lalu.
Mereka dilaporkan memulakan pendakian merentas tiga puncak gunung itu pada 29 Ogos lalu.
Peserta ekspedisi itu terdiri daripada dua malim gunung iaitu Shafiee Sidek, 49, dan Hazman Mamat, 43, manakala empat beranak terdiri daripada Wan Ahmad Aslam Wan Zairudin, 39, isterinya, Siti Zulaiha Norizan, 39, serta dua anak mereka, Diya Raisha, 13, dan Ahmad Raef, 9.