Seawal jam 7 pagi, seorang demi seorang kaki pancing mula ’membanjiri’ Pantai Cherang Laut di Bachok bagi merebut satu kilogram emas yang menjadi hadiah utama pada pertandingan Joran Emas Challenge 1.0 anjuran Kedai Emas Sri Semantan.
Menariknya, ada dalam kalangan peserta yang memilih untuk bermalam di pantai berkenaan sekali gus memberi gambaran mereka sudah tidak sabar untuk mendapatkan hadian berkenaan.
Mengujakan lagi, lebih 5,000 kaki pancing dari seluruh negara, termasuk Sabah dan Sarawak ’beradu’ kepakaran untuk menjinakkan ikan bagi membawa pulang hadiah utama itu.
Pengerusi Kedai Emas Sri Semantan, Mohamad Hafizal Mahmood berkata, penganjuran program itu bukan sahaja menghimpunkan peminat aktiviti memancing, malah menjadi platform untuk memperkukuh hubungan komuniti serta membantu menjana ekonomi usahawan tempatan.
Menurut beliau, penglibatan komuniti merupakan antara elemen utama yang diterapkan oleh Kedai Emas Sri Semantan menerusi pelbagai program yang dianjurkan sebelum ini bagi mendekati masyarakat.
”Penglibatan komuniti ini penting. Banyak acara telah dianjurkan sebelum ini dan kami dapat membantu menjana ekonomi usahawan tempatan,” katanya.
Tambah beliau, kejayaan menghimpunkan ribuan peserta dalam satu program membuktikan bahawa aktiviti yang dekat dengan minat masyarakat mampu menjadi medium berkesan untuk mengeratkan hubungan komuniti, selain memberikan limpahan ekonomi kepada penduduk setempat.
Sementara itu, Pengurus Acara, Muhammad Nor Akraminuddin Mohd Razihan atau dikenali Abuya Akram berkata, pertandingan itu menawarkan hadiah keseluruhan bernilai tinggi dengan kos penganjuran mencecah hampir RM1 juta.
”Hadiah utama ialah satu kilogram emas 916 dalam bentuk barang kemas, manakala hadiah kedua bernilai RM30,000, hadiah ketiga RM10,000 dan seterusnya sehingga kedudukan ke-300.
”Selain hadiah pertandingan, peserta turut berpeluang memenangi hadiah cabutan bertuah iaitu sebuah Mercedes A250 sebagai hadiah utama, selain pelbagai barangan elektrik seperti televisyen, peti sejuk dan mesin basuh,” katanya.
Menurut beliau, pemenang bagi pertandingan memancing dinilai berdasarkan berat ikan dan hadiah diberikan bermula tempat pertama sehingga kedudukan ke 300.
Tambahnya, melihat kejayaan Joran Emas Challenge 1.0, pihak Kedai Emas Sri Semantan turut merancang untuk menganjurkan program sama di Terengganu dalam tempoh terdekat sebagai kesinambungan usaha menghimpunkan komuniti kaki pancing serta merancakkan ekonomi setempat.
Mohd Rizuan menang emas 1 kg
Bagi nelayan dari Mersing, Johor yang dinobatkan sebagai pemenang Joran Emas Challenge 1.0, Mohd Rizuan Bidin,49, tidak pernah menyangka seekor ikan buntal membawa tuah luar biasa buatnya apabila berjaya membawa pulang emas seberat satu kilogram (kg).
Beliau berkata, kemenangan itu di luar jangkaannya memandangkan lebih 5,000 kaki pancing menyertai pertandingan berkenaan.
Menurut bapa kepada lima orang anak itu, lebih mengejutkan, ikan buntal seberat 6.650 kilogram itu adalah satu-satunya hasil tangkapan diperolehnya sepanjang pertandingan, namun beratnya sudah cukup untuk meletakkannya di kedudukan pertama.
“Alhamdulillah, memang tidak terfikir boleh jadi juara kerana ramai peserta dan masing-masing hebat serta otai.
”Hadiah emas sekilogram ini adalah kemenangan paling besar pernah saya perolehi dan ia bagaikan satu mimpi. Sebelum ini saya pernah memenangi hadiah pertandingan bernilai RM20,000 dan RM7,000,” katanya.
Mohd Rizuan memberitahu, sebagai nelayan, kemenangan itu memberi kegembiraan yang sukar digambarkan, manakala perancangan untuk menggunakan hadiah berkenaan masih belum diputuskan.
Mohammad Jailani bawa pulang Mercedess A250
Tidak pandai memancing, malah sekadar mengikut kawan ke pertandingan, bekas pramugara, Mohammad Jailani Hashim, 62, tidak pernah menyangka gurauan dia bersama isteri, Suhaila Ramli,46, untuk membawa pulang hadiah cabutan bertuah iaitu sebuah Mercedes A250 menjadi kenyataan.
Mohammad Jailani memberitahu, dia langsung tidak menyangka kehadirannya bersama isteri yang pada awalnya hanya untuk suka-suka membuahkan hasil lumayan.
”Kami sempat bergurau dengan kawan-kawan, biar mereka balik dulu. Saya dan isteri balik naik mercedes.ini kerana kami menumpang kereta mereka untuk ke sini.
”Tidak sangka ia jadi kenyataan,” katanya yang berasal dari Shah Alam, Selangor itu.
Ujar bapa kepada lima orang anak itu, kemenangan itu membuktikan rezeki boleh hadir dalam keadaan tidak disangka-sangka, apatah lagi dia pada awalnya hampir tidak mahu datang sebelum membuat keputusan pada saat akhir untuk menyertai rakan.
”Orang kata rezeki tidak salah alamat. Betul, itu saya akui sangat,” katanya.
Mohamad Azri meriahkan podcast
Pada pertandingan itu, turut diadakan podcast yang dikendalikan oleh Ameerul Hafiz Rosli bersama tetamu khas, pemancing berpengalaman serta terkenal, Mohamad Azri Mohd Rafi, 36, atau lebih dikenali sebagai Ayie.
Ayie yang berasal dari Kampung Jelutong, Pasir Puteh itu berani meninggalkan pekerjaan sebagai operator kren demi minat memancing yang kini menjadikan aktiviti itu sebagai sumber pendapatan utama sejak enam tahun lalu.
Bapa kepada lima anak itu berkata, keputusan beralih sepenuhnya kepada dunia memancing dibuat kerana minat mendalam terhadap aktiviti tersebut, selain melihat peluang menjana pendapatan menerusi kandungan digital dan hasil tangkapan.
Ayie kini turun memancing antara empat hingga lima kali seminggu sama ada di laut atau sungai dan hasil tangkapan turut dijual bagi menampung kehidupan keluarga.
Tambahnya, ikan tenggiri antara tangkapan yang pernah memberikan pulangan lumayan kepadanya, dengan harga jualan mencecah RM65 sekilogram.
Ayie mempunyai kira-kira 138,000 pengikut menerusi saluran YouTube.