iFAMA: 47 perkhidmatan FAMA kini di hujung jari

Iklan
Suraya bergambar bersama rakan pempamer dihadapan reruai FAMA sempena MAHA 2026 yang diadakan di Maeps, di sini.

Suraya bergambar bersama rakan pempamer dihadapan reruai FAMA sempena MAHA 2026 yang diadakan di Maeps, di sini.

SERDANG - Urusan berkaitan pemasaran dan rantaian bekalan agromakanan kini lebih mudah apabila Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) menghimpunkan 47 perkhidmatannya menerusi portal bersepadu iFAMA.

Iklan
Iklan

Menerusi konsep ‘Satu Akaun, Pelbagai Perkhidmatan’, pemasar agromakanan tidak lagi perlu mempunyai akaun berasingan untuk mengakses perkhidmatan agensi pemasaran di bawah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), sebaliknya segala urusan boleh dilakukan menerusi satu platform digital.

Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan Industri Agromakanan) FAMA, Suraya Mohd Yusof berkata, iFAMA dibangunkan sebagai gerbang utama perkhidmatan digital agensi itu bagi menyediakan urusan lebih mudah, cekap dan bersepadu kepada golongan sasar.

Iklan

“Portal tersebut membolehkan pengguna melakukan pelbagai urusan secara dalam talian termasuk pendaftaran, permohonan, semakan status, penerimaan tawaran, pembayaran dan pemantauan prestasi perniagaan.

“Selain itu, ia juga membolehkan pengguna mengakses pelbagai perkhidmatan FAMA tanpa perlu membuat akaun berasingan,” katanya ketika ditemui sempena MAHA 2026, di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (Maeps),di sini pada Jumaat.

Iklan

Suraya memaklumkan, 47 perkhidmatan yang ditawarkan merupakan tujuh kluster utama iaitu pasaran, produk, usahawan, outlet, infrastruktur, akreditasi dan lain-lain.

Antara perkhidmatan berkenaan termasuk kursus, penyertaan program dalam negara, K-Shoppe, Malaysia’s Best, Pusat Memproses Makanan FAMA (PMMF), insentif penambahbaikan pembungkusan dan pelabelan produk untuk dieksport serta penyewaan tapak atau bilik sejuk di Pasar Tani Kekal.

Bagaimanapun jelasnya, akses kepada sesuatu perkhidmatan adalah bergantung kepada kategori pemasar, jenis akaun, syarat kelayakan dan status semasa perkhidmatan tersebut.

Satu profil, pelbagai urusan

Mengulas lanjut beliau berkata, pembangunan iFAMA merupakan sebahagian daripada usaha transformasi digital agensi di bawah KPKM untuk mempercepat dan memudahkan proses pendaftaran, permohonan, semakan, penilaian, kelulusan serta pemantauan perkhidmatan.

Menurutnya, sebelum kewujudan iFAMA, permohonan perkhidmatan dikendalikan menerusi saluran dan sistem berbeza mengikut bahagian serta jenis perkhidmatan.

Keadaan itu menyebabkan pengguna perlu mengemukakan maklumat dan dokumen secara berasingan bagi setiap permohonan.

“Melalui iFAMA, perkhidmatan FAMA dihimpunkan dalam satu platform digital bagi memudahkan urusan pengguna.

“Pengguna juga tidak perlu mengemukakan maklumat sama berulang kali bagi perkhidmatan berlainan kerana maklumat pemasar dan aktiviti perniagaan dihimpunkan dalam satu profil pengguna,” ujarnya.

Suraya berkata, iFAMA disasarkan kepada pemasar yang terbabit dalam aktiviti pemasaran dan pemprosesan agromakanan merangkumi 14 kategori utama.

Ia termasuk pengeluar, petani, penternak, pengumpul, peraih, pemborong, peruncit, pengedar, pengeksport, pengimport, pengedar luar negara, pemproses, pengilang, pembungkus, penggred, pengangkut serta pengendali pusat pengumpulan, pengedaran dan kemudahan penyimpanan.

“Pengguna boleh mendaftar sebagai individu atau syarikat, tertakluk kepada syarat perkhidmatan yang dipohon,” katanya.

550 usahawan ikuti latihan

Suraya bersama beberapa produk makanan keluaran FAMA sempena MAHA 2026 pada Jumaat.

Bagi memastikan kumpulan sasar dapat menguasai sistem berkenaan, FAMA turut melaksanakan program latihan secara berperingkat bermula Mei hingga September tahun ini di 13 lokasi seluruh negara.

Sehingga 18 Ogos lalu, sebanyak 11 sesi latihan diselesaikan membabitkan 550 usahawan di Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak, Negeri Sembilan, Melaka, Johor, Pahang, Terengganu, Kelantan dan Sabah.

Latihan merangkumi penerangan fungsi sistem, pendaftaran akaun, pengemaskinian profil, permohonan perkhidmatan dan bimbingan praktikal secara hands-on.

“Setakat ini, maklum balas pengguna secara keseluruhan sangat positif apabila iFAMA dilihat lebih efisien dan memudahkan urusan.

“Pengguna turut memaklumkan modul serta fungsi sistem mudah difahami, manakala latihan dan bimbingan praktikal membantu mereka memahami proses permohonan serta perkhidmatan FAMA.

“Maklum balas pengguna turut digunakan sebagai input bagi penambahbaikan fungsi, kestabilan sistem, ketepatan data dan pengalaman pengguna,” katanya.

Menuju Super App FAMA

Pelaksanaan iFAMA turut memberi impak dari segi memperluas akses pemasar agromakanan kepada perkhidmatan FAMA melalui saluran digital, selain memendekkan dan menyeragamkan proses permohonan serta mengurangkan kebergantungan kepada borang dan proses manual.

Pada masa sama, status permohonan dapat dipantau dengan lebih telus dan sistematik, selain memperkukuh penyelarasan tindakan antara pegawai FAMA di peringkat daerah, negeri dan ibu pejabat.

Mengulas hala tuju portal tersebut, Suraya berkata, FAMA menyasarkan pengembangannya sebagai Super App FAMA yang bakal menjadi platform utama menghimpunkan perkhidmatan, maklumat dan interaksi pengguna dengan FAMA dalam satu ekosistem digital.

Beliau berkata, fasa seterusnya memberi tumpuan kepada perkhidmatan Pasar Tani, permohonan lesen, pembayaran dalam talian serta integrasi dengan sistem berkaitan dengan sasaran pelaksanaan pada 30 November 2026.

“FAMA juga sedang memperkukuh integrasi dengan sistem berkaitan seperti FIS, e-Lesen, e-Pasar Tani dan FAMA Data Warehouse bagi mengurangkan pertindihan data dan melancarkan urusan pengguna,” katanya.

Dalam masa sama, FAMA akan terus memperkasakan fungsi pengurusan maklum balas, pertanyaan, aduan dan sokongan pengguna, selain meneruskan latihan, video panduan, bahan promosi serta program kesedaran bagi meningkatkan kadar penerimaan dan penggunaan iFAMA.

Justeru, Suraya mengajak semua pemasar agromakanan, sama ada individu mahupun syarikat, mendaftar dan meneroka perkhidmatan yang disediakan menerusi portal berkenaan.

“iFAMA dibangunkan untuk memudahkan urusan pengguna dan memastikan perkhidmatan FAMA dapat disampaikan dengan lebih cepat, cekap dan telus.

“Pengunjung MAHA 2026 juga boleh mendapatkan penerangan lanjut mengenai iFAMA dan membuat pendaftaran,” katanya.

Proses lebih tersusun

Portal Bersepadu iFAMA mula beroperasi secara rasmi atau ‘go-live’ pada 19 Januari 2026 dengan fungsi Pendaftaran Pemasar dan lapan perkhidmatan terpilih.

Ia kemudian diperluaskan dengan tambahan 37 perkhidmatan pada 30 April 2026, menjadikan 47 perkhidmatan ditawarkan melalui portal berkenaan sehingga kini.

Pelaksanaan secara berfasa itu dibuat bagi memastikan fungsi sistem, aliran proses dan kesiapsiagaan pengguna dapat diperkukuhkan dari semasa ke semasa.

Orang ramai kini boleh mengakses portal bersepadu iFAMA melalui https://ifama.fama.gov.my/login dan memilih menu ‘Daftar Akaun’, melengkapkan maklumat yang diperlukan dan mengesahkan akaun sebelum membuat permohonan perkhidmatan.