NEW DELHI - Pihak berkuasa India merobohkan sebuah masjid berusia lebih seabad di Saharanpur, Uttar Pradesh selepas mahkamah mengekalkan keputusan yang mengisytiharkan struktur itu sebagai pendudukan tanpa kebenaran di atas tanah kerajaan.
Masjid yang terletak dalam kompleks pentadbiran daerah Saharanpur itu dirobohkan pada Sabtu, hanya tiga hari selepas mahkamah daerah menolak rayuan dikemukakan pihak pengurusannya.
Bagaimanapun, keputusan mahkamah pada 2 September itu tidak secara khusus mengarahkan masjid berkenaan dirobohkan, sebaliknya menolak rayuan dan mengekalkan perintah pengosongan yang dikeluarkan Majistret Bandar pada Julai lalu.
Pertikaian tersebut bermula susulan aduan Vikas Tyagi, bekas penyelaras wilayah Bajrang Dal di barat Uttar Pradesh, sebuah kumpulan nasionalis Hindu.
Tyagi mendakwa masjid berkenaan dibina secara tidak sah di atas tanah kerajaan dalam kawasan kompleks pentadbiran daerah.
Susulan aduan itu, Jabatan Hasil menjalankan siasatan sebelum prosiding dimulakan terhadap pihak yang menguruskan premis tersebut.
Pihak pengurusan masjid bagaimanapun mempertikaikan kedudukan tanah tersebut dan mendakwa rumah ibadat itu sudah wujud sejak sebelum 1911, jauh sebelum India mencapai kemerdekaan.
Penjaga masjid, Tanveer Ahmed turut menjelaskan bahawa struktur itu berusia lebih 115 tahun dan didaftarkan sebagai harta wakaf.
Pihak masjid berhujah bahawa rekod berkaitan tanah dan sejarah penggunaannya menyokong tuntutan mereka terhadap premis berkenaan.
Mahkamah bagaimanapun memutuskan pihak pengurusan gagal mengemukakan bukti kukuh bagi membuktikan pemilikan dan penguasaan sah terhadap tanah tersebut.
Rekod hasil yang dikemukakan pihak kerajaan pula menunjukkan tanah berkenaan merupakan harta kerajaan.
Kontroversi semakin memuncak selepas pihak pengurusan masjid dan beberapa pemimpin pembangkang mempersoalkan proses perobohan tersebut.
Mereka mendakwa pihak masjid sepatutnya diberikan masa untuk membawa kes berkenaan ke mahkamah lebih tinggi.
Tanveer mendakwa perintah asal hanya mengarahkan pengosongan premis dan bukannya merobohkan struktur berkenaan.
Ahli Parlimen Kongres dari Saharanpur, Imran Masood turut mempertikaikan proses itu dengan mendakwa Lembaga Wakaf tidak dijadikan pihak dalam kes tersebut dan aspek perundangan tertentu tidak diambil kira.
Pihak berkuasa Uttar Pradesh bagaimanapun mempertahankan tindakan mereka dan menegaskan semua prosedur undang-undang telah dipatuhi selepas rayuan pengurusan masjid ditolak mahkamah.
Pengurusan masjid dilaporkan merancang mencabar tindakan perobohan itu di Mahkamah Tinggi. - Agensi