Dua kali Jumaat lagi 'hari jadi kita’ - Ab Rauf beri bayangan bubar DUN Melaka

Iklan
Ab Rauf

MELAKA - [DIKEMAS KINI] Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh memberi bayangan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka berkemungkinan besar berlangsung dalam bulan ini.

Ia berdasarkan gambaran yang diberikan beliau bahawa hari penting bagi Melaka itu bakal berlangsung dalam tempoh ‘dua kali Jumaat’ lagi.

Iklan
Iklan

“Orang tanya, apa nak jadi kita? Kita jangan risau, hari ini hari jadi ADUN Paya Rumput, Datuk Rais Yasin. Lagi dua kali Jumaat, hari jadi kita.

“Kita memang menunggu-nunggu tarikh untuk kita serahkan kuasa yang ada pada tangan kita, nak pilih siapa yang kita nak pilih. Betul?” katanya ketika berucap pada Majlis Pecah Tanah SRA Sungai Udang sempena Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat DUN Sungai Udang pada Isnin.

Iklan

Ab Rauf pada masa sama turut berharap rakyat Melaka memilih pemimpin yang mampu menjaga kebajikan rakyat.

“Jadi kalau kita nak pilih tempat mandi, pertama teluk, kedua pantai.

Iklan

“Kalau nak cari pemimpin yang pandai berbudi, pertama elok, kedua pandai. Siapa lagi? Raislah!” katanya.

Dalam pada itu, beliau merakamkan penghargaan kepada semua pihak, khususnya tenaga pengajar dan guru Sekolah Agama Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM), atas sumbangan serta komitmen mereka.

Sebelum ini, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada Majlis Penutup Konvoi Bermotor Karnival Anak Muda di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) pada Ahad memberi mandat kepada Ab Rauf selaku Pengerusi Barisan Nasional (BN) Melaka untuk berunding dan memilih rakan kerjasama yang mampu membantu BN mencapai kemenangan pada PRN akan datang.

Pada masa sama, Ahmad Zahid meminta Ab Rauf mengumumkan segera tarikh pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) dengan mengambil kira sokongan positif golongan anak muda terhadap program anjuran kerajaan negeri.