SHAH ALAM - Polis sedang mengesan 10 individu bagi membantu siasatan dua kes berasingan yang dipercayai mempunyai elemen kongsi gelap di sini.
Kes pertama melibatkan kematian seorang lelaki berusia 23 tahun yang mempunyai enam rekod lampau dadah dalam pergaduhan kumpulan di Alam Megah pada 25 Ogos lalu.
Satu lagi kes melibatkan seorang lelaki yang diserang dua individu bersenjatakan parang dan objek menyerupai senjata api di Sri Muda pada 13 Ogos.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, kedua-dua kes itu berjaya diselesaikan pihaknya.
Menurutnya, kes masing-masing disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan Seksyen 148 Kanun Keseksaan.
"Kedua-dua kes ini tidak berkaitan antara satu sama lain, tapi kita tidak menolak kemungkinan melibatkan elemen kongsi gelap.
"Kes pertama membabitkan isu perebutan kawasan, manakala kes kedua berkaitan salah faham," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di sini pada Isnin.
Sebelum ini, polis mendedahkan dua kumpulan kongsi gelap dipercayai berebut kawasan perniagaan sebagai motif pergaduhan dan kejadian tetak yang mengakibatkan seorang lelaki maut di Jalan Mandolin 33/5, Taman Alam Megah di sini.
Shazeli berkata, menerusi operasi khas yang dijalankan IPK Selangor bersama Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam pada 14 hingga 28 Ogos lalu, seramai 21 lelaki tempatan berusia antara 23 hingga 46 tahun ditahan.
Katanya, tangkapan dibuat menerusi beberapa siri serbuan di Taman Sri Muda dan Seksyen 19, Shah Alam, selain Klang; Lenga, Muar dan Iskandar Puteri, Johor.
"Polis turut merampas pelbagai senjata dan ekshibit penting antaranya tujuh bilah parang, sebatang tukul besi dan dua pemotong kabel selain sembilan kereta serta tiga motosikal," katanya.
Beliau berkata, setakat ini lapan suspek sudah didakwa di mahkamah mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, manakala empat lagi didakwa mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan.
"Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai 10 lelaki yang masih bebas bagi kedua-dua kes ini diminta tampil membantu siasatan.
"Polis Selangor menegaskan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak bagi mengekang kumpulan gengsterisme serta memastikan kesemua yang terlibat dihadapkan ke muka pengadilan demi memelihara keselamatan dan ketenteraman awam," ujarnya.