Berbaloi tahan lapar dua hari, Bibiana pecah rekod kebangsaan

Iklan
Bibiana meraikan kejayaan selepas merangkul pingat emas dalam acara powerlifting wanita kategori 61kg Para SUKMA di Shah Alam. Foto: Bernama.

PENGORBANAN atlet para powerlifting Sarawak, Bibiana Ahmad menahan lapar selama dua hari untuk mencapai had berat ditetapkan berbaloi apabila dia meraih emas Para Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026 pada Isnin.

Lebih manis, kejayaan dalam kategori lightweight bawah 61 kilogram (kg) wanita di Pusat Dagangan Antarabangsa Selangor (SITC), Shah Alam itu hadir bersama rekod kebangsaan baharu apabila Bibiana melakukan angkatan 86kg.

Iklan
Iklan

Atlet berusia 38 tahun itu sebelum ini memegang rekod kebangsaan 85kg, namun perlu melakukan perubahan besar dari segi berat badan selepas mengambil keputusan beralih daripada kategori lebih berat.

"Memang drastik, dalam dua hari saya tak makan. Saya hanya minum sedikit air dan ambil ubat pada waktu malam. Siang memang tak ambil apa-apa.

Iklan

"Jadi, bila dapat keputusan macam ini, memang berbaloi," katanya.

Bibiana yang memenangi emas Sukan Para ASEAN 2025 dalam kategori 67kg berkata, perubahan kategori itu diputuskan selepas berbincang dengan jurulatih bagi mendapatkan peluang lebih baik untuk bersaing.

Iklan

"Ini kali pertama betul-betul kena struggle untuk turunkan berat badan. Sebab itu saya pun tak sangka dapat pecahkan rekod," katanya.

Pingat perak menjadi milik atlet Perak, Aphiradi Singchang dengan angkatan 59kg, manakala Nurul Rabiatul Adawiyah Bakri dari Sarawak meraih gangsa selepas mencatat 56kg.

Dalam acara lelaki bawah 72kg pula, atlet Kelantan Ahmad Shahmim Mohd Kadri mencipta sejarah peribadi apabila melengkapkan hatrik emas Para SUKMA dalam tiga edisi berturut-turut.

Ahmad Shahmim, 24, sebelum ini menjuarai kategori 49kg pada 2022 di Kuala Lumpur dan 54kg pada edisi 2024 di Sarawak, sebelum mengungguli kategori 72kg di Selangor.

Dia turut memperbaharui rekod temasya tiga kali hari ini, bermula dengan angkatan 161kg pada percubaan pertama untuk memadam rekod 157kg milik jurulatihnya, Ma Hussein Mat Noh, sebelum menambah kepada 166kg pada percubaan kedua dan 171kg pada percubaan terakhir.

Muhamad Syalqi Mohd Shikri dari Perlis meraih perak dengan 131kg, manakala atlet Johor Mohamad Auf Kasdan membawa pulang gangsa menerusi angkatan 115kg.