SEREMBAN - Lelaki yang ditembak mati dalam kejadian di sebuah rumah di Taman Garden Homes di Seremban 2, di sini pada Ahad mempunyai enam rekod jenayah selain dikehendaki polis berhubung kes penculikan.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Datuk Hussien Omar Khan berkata, suspek berusia 52 tahun itu ditembak polis kerana bertindak agresif dengan terlebih dahulu melepaskan tembakan ke arah pihak berkuasa.
"Pada jam lebih kurang 1.30 petang semalam, berdasarkan maklumat risikan, JSJN Bukit Aman telah melaksanakan dan menyerbu lokasi di sebuah rumah teres di Taman Garden Homes, di sini yang disyaki menjalankan aktiviti memproses dadah.
"Semasa serbuan dibuat, suspek telah bertindak agresif dengan melepaskan tembakan ke arah pasukan serbuan dan bagi mempertahankan diri, tembakan terhadap suspek telah dilepaskan," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Negeri Sembilan, di sini pada Isnin.
Menurutnya, suspek kemudian didapati tidak sedarkan diri dan telah disahkan meninggal dunia di lokasi.
Ujarnya, pemeriksaan lanjut mendapati, rumah tersebut telah disewa sejak setahun lalu dan dijadikan makmal mini untuk memproses dadah jenis MDMA.
"Suspek yang ditembak mati ini merupakan ketua sindiket yang sangat aktif dan berbahaya kerana memiliki senjata api.
"Dia juga memiliki kepakaran dalam bidang kimia yang boleh memproses dadah jenis MDMA, malah terlibat dengan bahan terlarang itu sejak tahun 90-an serta pernah ditangkap tiga kali di bawah Seksyen 39B ADB," katanya.
Tambah Hussien, dalam serbuan di rumah terbabit, sebanyak 182.39 kilogram(kg) dadah MDMA telah dirampas serta pelbagai peralatan memproses dadah termasuk tiga kereta.
"Sepucuk senjata api jenis revolver telah dijumpai di tempat kejadian telah dirampas," katanya.
Susulan itu katanya, polis telah melakukan dua lagi serbuan iaitu di sebuah rumah di Seremban 2 dan Residensi di Kuchai Lama, Kuala Lumpur dan telah berjaya menahan dua warga tempatan termasuk seorang wanita berusia 32 dan 35 tahun.
Jelasnya, hasil semakan mendapati, suspek wanita terbabit mempunyai 12 rekod jenayah manakala suspek lelaki, 10 rekod jenayah
"Mereka dipercayai merupakan ahli sindiket dan tiada sebarang hubungan kekeluargaan. Kedua-duanya direman tujuh hari bermula 7 September hingga 13 September ini.
"Kita percaya ada lagi beberapa lagi suspek dalam sindiket ini, malah ada yang dipercayai telah pun melarikan diri ke luar negara," katanya.
Selain itu jelasnya, sindeket tersebut dipercayai aktif sejak bulan Januari tahun ini dan modus operandi adalah dengan menjadikan kawasan perumahan yang berkepadatan penduduk yang rendah sebagai lokasi pemprosesan Dan pengedaran dadah.
Kata Hussien, kesemua prekursor (bahan kimia) yang dijumpai telah dibawa masuk dari luar negara untuk pasaran antarabangsa.
"Nilai keseluruhan dadah yang dirampas dilanggarkan bernilai RM27.5 juta dan kes disiasat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan Seksyen 39B ADB 1952," katanya.