GOMBAK - Seorang wanita meminta bantuan orang ramai yang mempunyai rakaman kamera papan pemuka (dashcam) atau menyaksikan kemalangan membabitkan keluarganya di Kilometer 440.5 arah selatan dari Sungai Buaya ke Rawang, di sini pada Ahad, tampil membantu siasatan.
Dalam kejadian kira-kira jam 4 hingga 4.30 pagi itu, keluarga lima beranak berkenaan dalam perjalanan pulang dari Perlis menuju ke rumah mereka di Cheras sebelum kenderaan dinaiki dipercayai dilanggar dari belakang.
Isteri mangsa, Nurul Faiqah Abd Rahman, 34, berkata, suaminya, Tengku Muhammad Shah Asyraf Tengku Sallehuddin, 34, sedang memandu kenderaan berkenaan.
“Ketika itu kami berada di lorong tengah seperti biasa sebelum ada kenderaan melanggar dari belakang.
“Akibat kejadian itu, suami saya patah tulang leher, manakala anak kedua pula patah tangan dan kaki serta perlu menjalani pembedahan. Kereta pula mengalami kerosakan teruk dan ‘total loss’," katanya.
Nurul Faiqah yang juga bekas wartawan berkata, pembedahan anak keduanya dijalankan hari ini, manakala beliau kini berada di Hospital Sungai Buloh bersama suami dan anak berkenaan.
“Anak pertama dan bayi berusia dua bulan berada di sebuah rumah inap bersama keluarga saya,” katanya.
Menurutnya, kenderaan yang melanggar mereka dipercayai sebuah Toyota Camry yang dinaiki tiga individu.
“Saya difahamkan pemandu itu dipercayai mabuk. Namun, saya tidak pasti sama ada pihak berkenaan sudah membuat laporan polis atau belum.
“Kami mahu membuat laporan dan berharap sesiapa yang ada rakaman dashcam ketika kejadian dapat membantu,” katanya.
Beliau berkata, keluarganya ketika itu dalam perjalanan pulang dari Perlis ke Cheras dan hanya kira-kira 45 minit lagi untuk sampai ke rumah sebelum kemalangan berlaku.
Sehubungan itu, wanita itu memohon orang ramai yang mempunyai rakaman dashcam atau mengetahui mengenai kejadian tersebut supaya tampil membantu keluarga mendapatkan maklumat bagi siasatan.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Ibrahim Husin ketika dihubungi mengesahkan pihaknya menerima laporan berkaitan kejadian berkenaan.
"Kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.