SUNGAI PETANI - Empat lelaki termasuk dua beradik dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini pada Isnin atas pertuduhan membunuh, bulan lalu.
Tertuduh Mohamad Iekram Mohd Zaki, 29, (pengawal keselamatan), Mohamad Bakri Mahidin, 37, (buruh), adiknya, Muhamadariff Mahidin, 26, (buruh) dan seorang lagi, Mohd Firdaus Che Mustafa, 36, (pekerja cuci kereta) mengangguk faham ketika pertuduhan dibacakan terhadap mereka.
Berdasarkan pertuduhan, mereka bersama-sama pada jam lebih kurang 1.30 hingga 3 petang semasa di kawasan ladang kelapa sawit Kampung Sungai Division di sini didakwa membunuh Mohd Badaruddin Md Nayan, 30, pada 23 Ogos lalu.
Akibat perbuatan itu, mereka didakwa melakukan kesalahan yang boleh dihukum bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.
Jika sabit kesalahan boleh dihukum gantung sampai mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun dan minimum 12 sebatan jika tidak dihukum mati.
Timbalan Pendakwa Raya, Nur Hazwani Md Noor tidak menawarkan jaminan terhadap kesemua tertuduh.
Mahkamah turut dimaklumkan peguam Durratul 'Ain Mahmud Morshidi yang bertindak sebagai Amicus Curiae bahawa terdapat dua tertuduh memerlukan rawatan kesihatan iaitu Mohamad Iekram pemegang kad Orang Kurang Upaya (OKU) fizikal akibat kemalangan dan Mohamad Bakri memohon alat bantuan pernafasan kerana masalah asma.
Majistret Noor Farah Hazwani Osman bagaimanapun mengarahkan kedua-dua tertuduh mendapatkan kebenaran dari pihak warden penjara sebaik sahaja ditempatkan di sana sekiranya memerlukan bantuan perubatan.
Kes akan disebut semula pada 15 November depan bagi mendapatkan laporan kimia dan hasil bedah siasat.
Sebelum ini, media melaporkan kenyataan Ketua Polis Kedah, Datuk Adzli Abu Shah tentang penemuan mayat seorang lelaki yang belum dikenal pasti identiti.
Menurutnya, hasil bedah siasat yang dijalankan di Hospital Sultanah Bahiyah Alor Setar 24 Ogos lalu membolehkan polis mengklasifikasikan kes sebagai kejadian bunuh.
Adzli berkata, punca kematian disyaki disebabkan kecederaan hentakan di belakang kepala oleh daya objek tumpul.