KOTA BHARU - Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan berada dalam mod siap siaga bagi membantu operasi mencari dan menyelamat (SAR) enam pendaki termasuk dua kanak-kanak berusia sembilan dan 13 tahun yang masih belum keluar dari kawasan Gunung Trans Gerah, Lojing, Gua Musang.
Pengarah JBPM Kelantan, Farhan Sufyan Borhan berkata, empat anggota Pasukan Khas Operasi, Taktikal dan Penyelamat (STORM), empat anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gua Musang serta enam malim gunung kini dalam keadaan siap siaga.
Enam pendaki berkenaan ialah Shafiee Sidek, 49, Hazman Mamat, 43, Wan Ahmad Aslam Wan Zairudin, 39, Siti Zulaiha Norizan, 39, Diya Raisha Wan Ahmad Aslam, 13, dan Ahmad Raef Wan Ahmad Aslam, sembilan.
Bagaimanapun, seorang lagi individu yang namanya terdapat dalam permit pendakian dilaporkan tidak hadir menyertai aktiviti berkenaan.
Farhan Sufyan berkata, operasi ketika ini masih difokuskan di kawasan Perak selepas kumpulan berkenaan dipercayai telah memasuki negeri itu dan dilaporkan pernah berselisih dengan pasukan lain pada 1 September lepas.
Beliau berkata sekiranya kumpulan berkenaan berpatah balik dan memasuki semula laluan dari Kelantan, pasukan yang disiagakan akan digerakkan bagi membantu operasi SAR.
"Berdasarkan maklumat daripada pendaki, kebiasaannya untuk merentasi ketiga-tiga gunung itu akan mengambil masa kira-kira tiga hari. Kita masih belum dapat memastikan sama ada mereka tersesat atau ada yang mengalami kecederaan,” katanya.
Beliau berkata, perjalanan dari Balai Bomba dan Penyelamat Gua Musang ke kaki Gunung Trans Gerah pula mengambil masa kira-kira empat jam 30 minit, melibatkan sejam perjalanan melalui jalan berturap dan tiga jam 30 minit melalui laluan off-road.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gua Musang Superintenden Sik Choon Foo berkata, berdasarkan maklumat setakat ini, kejadian kumpulan pendaki memasuki kawasan berkenaan sebelum gagal dikesan dipercayai yang pertama.
Beliau berkata, kumpulan pendaki berkenaan termasuk empat sekeluarga berasal dari Johor dan Terengganu.
"Mereka mempunyai permit pendakian yang sah dengan Jabatan Perhutanan negeri dan turut mengupah dua malim gunung. Kalau mengikut rekod jabatan, mereka dipercayai pertama kali mendaki gunung berkenaan.
"Saya juga difahamkan kumpulan ini mempunyai pengalaman dalam aktiviti mendaki berdasarkan tindakan mereka mendapatkan khidmat malim gunung,” katanya.
Semalam, Bernama melaporkan enam individu termasuk empat sekeluarga dan dua malim gunung dikhuatiri hilang selepas memulakan pendakian pada 29 Ogos lepas.
Laporan berkaitan kehilangan itu diterima daripada ahli keluarga semalam selepas mereka gagal keluar dari hutan mengikut tarikh dijadualkan pada 3 September. - Bernama