Piala Lee Chong Wei ke pentas antarabangsa

Iklan
Chong Wei - Foto: Bernama.

PIALA Lee Chong Wei bakal membuka gelanggang lebih luas kepada bakat muda badminton apabila legenda negara, Datuk Seri Lee Chong Wei merancang menjadikannya kejohanan bertaraf antarabangsa mulai tahun depan.

Chong Wei berkata, langkah itu penting bagi memberi pendedahan lebih besar kepada pemain muda tempatan, selain membolehkan mereka mengukur kemampuan apabila berdepan pencabar dari luar negara.

Iklan
Iklan

Menurut beliau, perancangan berkenaan menyaksikan Piala Lee Chong Wei dianjurkan dalam dua edisi tahun depan, masing-masing membabitkan saingan tempatan dan antarabangsa.

“Tahun depan memang saya ada rancangan buat terbuka kepada peserta antarabangsa. Bukan saja Asia, tetapi terbuka untuk seluruh dunia. Sesiapa yang berminat boleh sertai.

Iklan

“Saya sudah rancang dua kejohanan tahun depan, satu tempatan dan satu antarabangsa,” katanya selepas perlawanan terakhir Piala Lee Chong Wei di Stadium Juara, Bukit Kiara pada Ahad.

Menurut Chong Wei, edisi antarabangsa itu tidak hanya menyasarkan penyertaan dari negara jiran seperti Thailand dan Indonesia, sebaliknya turut membuka ruang kepada akademi serta pemain muda dari seluruh dunia.

Iklan

Beliau melihat kehadiran pemain luar sebagai peluang terbaik untuk pemain tempatan mendapatkan pengalaman kompetitif tanpa perlu menunggu mereka menyertai kejohanan di luar negara.

Bagaimanapun, Chong Wei mengakui penganjuran kejohanan antarabangsa memerlukan perancangan rapi, terutama dalam menentukan tarikh yang tidak bertembung dengan kejohanan remaja lain di rantau Asia.

“Kita kena tengok kalendar kejohanan. Kalau negara lain ada kejohanan atau tidak, saya tidak mahu kejohanan bertembung antara satu sama lain.

“Bila kita dapat masa yang baik, kita akan buat kejohanan antarabangsa,” katanya.

Dalam masa sama, Chong Wei turut meneliti kemungkinan mendapatkan pengiktirafan atau kelulusan Badminton Asia bagi memastikan penganjuran edisi antarabangsa itu dapat dilaksanakan pada tempoh yang sesuai.

Piala Lee Chong Wei edisi sulung yang berlangsung di Stadium Juara itu menghimpunkan bakat muda dalam saingan pelbagai kategori, sekali gus menjadi medan awal untuk menguji kemampuan generasi pelapis.

Dengan peluasan skop kepada penyertaan antarabangsa tahun depan, Chong Wei berharap kejohanan berkenaan dapat berkembang menjadi platform berprestij yang mampu menarik bakat muda dari pelbagai negara ke Malaysia.