KOTA KINABALU - [DIKEMAS KINI] KOTA KINABALU - Bapa kepada Allahyarham Zara Qairina dijadualkan memberi keterangan apabila prosiding inkues kematian remaja berusia 13 tahun itu bersambung semula di Mahkamah Koroner di sini pada Isnin.
Mahathir Mohd Hashim akan tampil sebagai saksi ke-80 dalam prosiding yang bermula sejak 3 September tahun lalu bagi mencari punca kematian anaknya.
Keterangan Mahathir menyusul selepas mahkamah sebelum ini selesai mendengar keterangan 79 saksi termasuk pelajar, guru, pegawai polis serta beberapa saksi pakar dalam bidang patologi, psikiatri dan pemeriksaan dokumen forensik.
Selepas Mahathir, anaknya yang juga kakak tiri kepada Zara Qairina, dijangka dipanggil untuk memberikan keterangan pada Selasa.
Prosiding inkues yang didengar di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan sebelum ini ditangguhkan selepas selesai mendengar keterangan saksi ke-79 pada 27 Ogos lalu dan ditetapkan bersambung pada 7 hingga 11 September.
Zara Qairina ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri di bawah bangunan asrama sebuah sekolah agama di Papar pada 16 Julai 2025.
Pelajar itu kemudian dibawa ke Hospital Queen Elizabeth I (HQEI) sebelum disahkan meninggal dunia pada keesokan harinya.