CHICAGO – Lima individu terkorban manakala lima lagi cedera selepas pesawat Amazon Air Cargo terhempas sewaktu mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Miami kira-kira jam 2 petang pada Ahad.
Pesawat kargo Boeing 767-300 yang dikatakan dari San Juan, Puerto Rico itu gagal berhenti di landasan, terbabas dan merempuh beberapa kenderaan sebelum berhenti berhampiran jalan raya di luar lapangan terbang.
Pesawat yang pada awalnya dipercayai bergerak pada kelajuan 209 km/j itu kemudiannya terbakar selepas nahas tersebut, menyebabkan kepulan asap hitam tebal dapat dilihat dari jarak beberapa kilometer.
Pasukan penyelamat bergegas ke lokasi kejadian ketika anggota bomba bertungkus-lumus memadamkan kebakaran dan menyelamatkan mangsa.
Pihak polis mengesahkan lima orang maut dalam nahas itu, manakala lima lagi dibawa ke hospital berhampiran untuk menerima rawatan.
Beberapa mangsa yang terselamat dilaporkan mengalami kecederaan kritikal.
Pesawat berkenaan dikendalikan oleh syarikat penerbangan kargo 21 Air bagi pihak Amazon Air.
Penyiasat masih belum menemukan punca pesawat terbabas melepasi landasan lapangan terbang.
Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA) dan Lembaga Keselamatan Pengangkutan Kebangsaan (NTSB) melancarkan siasatan dan dijangka meneliti data penerbangan, keadaan cuaca, prestasi pesawat serta komunikasi dengan pengawal trafik udara.
Nahas itu menyebabkan operasi di Lapangan Terbang Antarabangsa Miami terganggu buat sementara waktu, dengan beberapa penerbangan mengalami kelewatan.
Sebahagian kawasan lapangan terbang turut ditutup ketika pasukan kecemasan menjalankan operasi menyelamat.
Jurucakap Amazon, Kelly Nantel dalam satu kenyataan merakamkan ucapan takziah kepada mangsa dan keluarga, selain memaklumkan bahawa syarikat itu akan memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa sepanjang siasatan dijalankan.
Identiti mangsa yang maut masih belum didedahkan.
Lebih banyak maklumat dijangka diperoleh selepas penyiasat memulakan pemeriksaan terhadap bangkai pesawat di lokasi kejadian. - Agensi