Pastikan AI bawa nilai kepada PMKS

Iklan
AI boleh membantu perniagaan membuat perancangan inventori dengan lebih baik. Gambar kecil: Abdul Rahim

KETIKA kerajaan membuka akses teknologi kecerdasan buatan (AI) kepada 100,000 belia, persoalannya bukan sekadar berapa ramai anak muda akan belajar menggunakan teknologi itu.

Sebaliknya, apa yang berlaku apabila kemahiran tersebut dibawa masuk ke tempat kerja?

Iklan
Iklan

Bagi perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) yang kerap berdepan kekangan tenaga kerja, kos serta kepakaran, seorang pekerja yang tahu menggunakan AI mungkin mampu membantu menyelesaikan tugasan yang sebelum ini mengambil masa lama.

Daripada tugas menghasilkan kandungan pemasaran hinggalah menyediakan laporan serta menjawab pertanyaan pelanggan, AI berpotensi mengubah cara perniagaan kecil beroperasi.

Iklan

Felo Tetap Institut Kajian Data Raya dan Kecerdasan Buatan, Universiti Teknologi MARA, Profesor Madya Dr Abdul Rahim Ridzuan berkata, inisiatif memberikan akses teknologi AI kepada golongan muda berusia 18 hingga 30 tahun merupakan langkah baik dalam menyediakan tenaga kerja masa hadapan.

Namun, manfaat sebenar kepada ekonomi tidak terletak pada sekadar memberi akses kepada aplikasi AI.

Iklan

“Perlu dibezakan antara sekadar mempunyai akses kepada AI dengan keupayaan menggunakan AI untuk menghasilkan nilai ekonomi.

“Apabila kemahiran ini dibawa ke tempat kerja, khususnya dalam PMKS, AI berpotensi membantu pekerja melakukan tugasan dengan lebih cepat, mengurangkan kerja berulang serta meningkatkan kualiti keputusan,” katanya kepada Bisnes Sinar.

Menurutnya, kelebihan itu penting kepada PMKS yang berdepan kekangan modal dan tenaga kerja, sekali gus menyukarkan mereka meningkatkan produktiviti tanpa menambah pekerja serta kos operasi.

Dalam keadaan itu, AI boleh membantu pekerja melakukan lebih banyak tugasan dalam tempoh yang sama.

“Ukuran kejayaan akhirnya bukan berapa ramai belia menggunakan AI, tetapi sejauh mana penggunaannya dapat menjimatkan masa, mengurangkan kos, meningkatkan produktiviti dan menyumbang kepada hasil perniagaan,” ujarnya.

Abdul Rahim berkata, antara bahagian perniagaan paling cepat mendapat manfaat ialah pemasaran dan jualan, khidmat pelanggan, pentadbiran, kewangan serta pengurusan operasi.

Pekerja muda boleh menggunakan AI untuk menghasilkan kandungan pemasaran, meneliti trend pelanggan dan jualan, menyediakan laporan atau membantu menguruskan pertanyaan pelanggan.

Malah, AI juga boleh membantu perniagaan membuat perancangan inventori dengan lebih baik.

Katanya, perkembangan itu tidak bermaksud teknologi akan mengambil alih peranan manusia.

Sebaliknya, seorang pekerja yang memahami cara menggunakan AI dengan baik berpotensi menghasilkan output lebih banyak dan berkualiti menggunakan sumber serta masa yang sama.

Beliau mengingatkan penggunaan AI tidak sepatutnya sekadar menjadi trend yang diikuti kerana bimbang ketinggalan sebaliknya pemilik PMKS perlu memikirkan apakah masalah sebenar yang mahu diselesaikan.

“Jangan bertanya aplikasi AI apa yang perlu digunakan tetapi tanyalah masalah perniagaan apa yang boleh diselesaikan dengan AI.

“Kenal pasti dahulu proses yang memakan masa, meningkatkan kos atau menjejaskan produktiviti, kemudian gunakan AI secara bersasar,” katanya.

Tambahnya, PMKS juga perlu mempunyai ukuran jelas sama ada penggunaan AI benar-benar membawa pulangan, termasuk dari segi masa yang dijimatkan, kos yang dikurangkan, peningkatan jualan atau kecekapan melayani pelanggan.

Dalam hal itu, pekerja muda yang mempunyai kemahiran AI boleh memainkan peranan sebagai pemacu perubahan dalam organisasi dengan membantu majikan mengenal pasti proses yang boleh diperbaiki.

“Kita tidak mahu melahirkan 100,000 belia yang hanya tahu menggunakan aplikasi AI.

“Kita mahu melahirkan 100,000 belia yang tahu menggunakan AI untuk menyelesaikan masalah sebenar perniagaan.

“Jika kemahiran ini dapat dibawa masuk ke pejabat, kedai, kilang dan perusahaan kecil di seluruh negara, kesannya bukan sahaja kepada produktiviti PMKS, tetapi juga kepada daya saing ekonomi Malaysia secara keseluruhan,” katanya.