DAHULU, pengguna mencari produk menerusi kata kunci. Kini, mereka boleh menemui produk ketika menonton kandungan, mengikuti pencipta kandungan atau menyertai sesi siaran langsung (LIVE).
Perubahan itu mengubah perjalanan membeli-belah apabila pembelian bukan lagi semata-mata bermula dengan carian, sebaliknya boleh tercetus daripada sesuatu yang menarik perhatian pengguna.
Pengarah Kanan Kerjasama Strategik TikTok Shop Malaysia, Nur Azre Abdul Aziz berkata, perkembangan itu antara perubahan ketara dalam landskap perdagangan digital.
“Tingkah laku pengguna dalam membeli-belah kini semakin berubah dan fleksibel apabila mereka semakin banyak menemui produk menerusi kandungan, pencipta kandungan, komuniti dan sesi siaran langsung (LIVE).
“Perubahan tersebut dapat dilihat menerusi corak jualan di TikTok Shop apabila format LIVE dan video masing-masing menyumbang kira-kira satu pertiga daripada jualan platform di Malaysia,” katanya kepada Bisnes Sinar.
Menurut Nur Azre, jualan menerusi LIVE meningkat 48 peratus tahun ke tahun.
“Senarai produk bukan lagi satu-satunya saluran untuk pengguna mengenali perniagaan. Kandungan, LIVE dan pencipta kandungan semakin menjadi saluran tambahan untuk pengguna menemui dan memahami sesebuah perniagaan,” katanya.
Pada suku pertama 2026, sebanyak 50 peratus pengguna TikTok menonton siaran langsung pada bulan sebelumnya, manakala 41 peratus menggunakan TikTok Shop.
Menurutnya, perkembangan tersebut memberi ruang lebih besar kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), khususnya perniagaan yang sebelum ini berdepan cabaran mendapatkan capaian kepada pelanggan dalam skala lebih besar.
“Bagi PMKS, ini boleh membantu meratakan peluang kerana perniagaan lebih kecil boleh mencapai pelanggan dan membina kredibiliti dengan menunjukkan produk mereka dengan jelas, menceritakan kisah yang relevan serta berinteraksi secara langsung dengan komuniti,” katanya.
Namun, apabila semakin banyak keputusan pembelian dibuat hasil daripada kandungan dan pengaruh pencipta kandungan, soal kepercayaan juga semakin penting.
Ujarnya, pertumbuhan ekonomi pencipta kandungan menjadikan kepercayaan antara elemen utama yang membantu pengguna beralih daripada sekadar berminat kepada membuat pembelian.
LIVE mempunyai kelebihan tersendiri kerana pengguna boleh mendapatkan maklumat secara masa nyata sebelum membuat keputusan. Mereka boleh bertanya mengenai produk, mendapatkan penjelasan, melihat demonstrasi penggunaan dan berinteraksi secara langsung dengan penjual atau pencipta kandungan.
Hampir enam daripada 10 pengguna TikTok Shop di Malaysia memilih format pembelian menerusi LIVE.
“Bagi penjual dan pencipta kandungan, mengekalkan kepercayaan kembali kepada asas seperti bersikap telus, mengetahui produk dengan baik, memberikan maklumat yang tepat, menjawab soalan dengan jujur dan memastikan pengalaman pelanggan yang konsisten,” katanya.
Dalam usaha memperkukuh ekosistem berkenaan, TikTok Shop turut menyediakan latihan, padanan antara penjual dan pencipta kandungan serta peluang pertumbuhan berasaskan komuniti menerusi inisiatif seperti JomLokal Booster 2.0.
Bagaimanapun, Nur Azre menegaskan bahawa dalam jangka panjang, hubungan dengan pelanggan tetap bergantung kepada kredibiliti penjual, kualiti produk dan pengalaman yang diberikan.
Seiring perubahan tersebut, peranan pencipta kandungan tidak lagi terhad kepada membina kesedaran terhadap sesuatu jenama. Mereka kini menjadi sebahagian daripada perjalanan jualan menerusi pendidikan produk, penceritaan, LIVE dan interaksi secara langsung dengan pengguna.
Di sebalik peluang itu, realitinya banyak PMKS masih perlu membahagikan perhatian antara usaha pendigitalan dengan urusan perniagaan harian.
Nur Azre berkata, platform digital boleh membantu mengurangkan halangan tersebut dengan menjadikan penyertaan dalam perdagangan digital lebih mudah.
Inisiatif
Melalui inisiatif #JomLokal dan JomLokal Booster 2.0, TikTok Shop menyediakan sokongan meliputi kos, latihan, peralatan, akses kepada pencipta kandungan, keupayaan LIVE dan keterlihatan platform mengikut tahap perkembangan penjual.
Menerusi JomLokal Booster 2.0, sebanyak RM250 juta diperuntukkan tahun ini bagi menyokong penjual melalui antaranya pengecualian fi, peralatan, latihan serta padanan dengan pencipta kandungan. Penjual di bawah kempen JomLokal juga merekodkan pertumbuhan jualan 140 peratus tahun ke tahun.
Namun, kejayaan dalam LIVE memerlukan lebih daripada sekadar berada di hadapan kamera. Jelas Nur Azre, pencipta kandungan perlu menguasai pengetahuan produk, demonstrasi yang jelas, penglibatan audiens dan konsistensi dalam mengadakan sesi LIVE.
Pada masa sama, perkembangan perdagangan digital tidak bermakna kedai fizikal akan kehilangan peranan. Sebaliknya, sempadan antara dalam talian dengan luar talian semakin kabur apabila pengguna boleh menemui sesuatu jenama menerusi kandungan atau LIVE, membuat pembelian di TikTok Shop dan kemudian berinteraksi dengan perniagaan sama melalui kedai fizikal, pengedar atau saluran runcit lain.
“Perdagangan digital bukan untuk menggantikan peruncitan fizikal, sebaliknya melengkapkannya dengan membantu perniagaan membina kesedaran dan permintaan pada skala lebih luas,” kata Nur Azre.
Dalam pada itu, acara jualan utama seperti 9.9, 11.11 dan 12.12 terus menawarkan peluang besar kepada penjual, tetapi persediaan tidak seharusnya bermula pada hari jualan.
Data TikTok Shop menunjukkan jualan pada hari kemuncak 11.11 tahun lalu melonjak 73.44 peratus berbanding paras biasa, manakala 12.12 merekodkan peningkatan 61.24 peratus. Kempen Ramadan dan Raya 2026 pula menghasilkan peningkatan 51.26 peratus sepanjang tempoh kempen.
Akhirnya, perubahan dalam perdagangan digital bukan hanya mengenai teknologi atau platform, tetapi tentang bagaimana pengguna membuat keputusan.
Daripada mencari produk secara sengaja, mereka kini boleh menemui sesuatu yang menarik perhatian ketika menonton kandungan, mengikuti pencipta kandungan atau berinteraksi dalam komuniti.
Keadaan ini menjadikan kandungan sebagai pintu masuk baharu kepada perdagangan, manakala kepercayaan dan hubungan dengan pengguna menjadi semakin penting dalam mengekalkan pembelian.
Nur Azre menjangkakan sempadan antara hiburan dengan membeli-belah akan terus mengecil kerana perdagangan semakin berlaku di mana sahaja perhatian pengguna berada.
“PMKS yang berjaya dalam tempoh akan datang tidak semestinya yang mempunyai bajet terbesar, tetapi mereka yang paling sanggup membina hubungan tulen dengan audiens menerusi kandungan, LIVE dan komuniti,” katanya.
Ujarnya, perkara yang membezakan PMKS yang bersedia menghadapi masa depan bukan semata-mata memiliki produk yang tepat, tetapi kesediaan untuk mencuba, belajar dan tampil secara konsisten.
Dalam landskap yang semakin dipacu penemuan ini, persoalannya bukan lagi sekadar apa yang dijual, tetapi sejauh mana sesebuah perniagaan mampu ditemui, dipercayai dan diingati pengguna.