APABILA membicarakan kerangka ekonomi yang baik, ekonomi berasaskan pasaran adalah sesuatu yang didambakan kerana ekonomi pasaran mampu mencipta kemakmuran.
Walau bagaimanapun, jaringan perlindungan sosial juga sama pentingnya kerana ia memastikan kemakmuran itu berdaya tahan dan tidak meninggalkan mereka yang ditimpa musibah.
Justeru, bagi mewujudkan kerangka ekonomi yang baik, kerajaan perlu menumpukan sumber yang terhad kepada pembinaan kapasiti negara, bukannya cuba menggantikan fungsi pasaran.
Sesebuah ekonomi yang kukuh tidak boleh bergantung sepenuhnya kepada kerajaan. Begitu juga, kita tidak boleh mengharapkan pasaran menyelesaikan setiap permasalahan masyarakat. Kerangka ekonomi yang baik memerlukan keseimbangan antara kedua-duanya.
Asasnya ialah ekonomi berorientasikan pasaran yang adil, telus, cekap, inovatif dan berdaya saing. Dalam sistem sebegini, harga memainkan peranan penting dalam memberikan isyarat kepada pengeluar dan pengguna. Persaingan pula mendorong perniagaan menjadi lebih produktif, mengurangkan kos serta menghasilkan produk dan perkhidmatan yang lebih baik.
Namun, pasaran hanya dapat berfungsi dengan baik sekiranya terdapat institusi yang kukuh. Kerajaan perlu memastikan peraturan dilaksanakan secara adil, monopoli dan kartel dibendung, hak milik dilindungi serta persaingan berlaku dalam padang permainan yang adil dan saksama.
Dengan kata lain, kerajaan tidak semestinya perlu menjadi pemain dalam setiap kegiatan ekonomi. Peranan terpenting kerajaan ialah menjadi pengadil yang cekap dan berwibawa.
Pada masa yang sama, kita perlu mengakui bahawa kehidupan manusia sentiasa berhadapan dengan risiko. Seorang pekerja boleh mengalami kemalangan, kehilangan pekerjaan atau hilang keupayaan untuk bekerja.
Seorang pencari nafkah yang terjejas pendapatannya pula boleh menyebabkan seluruh keluarganya berhadapan masalah kewangan.
Di sinilah pentingnya jaringan perlindungan sosial. Institusi seperti PERKESO memainkan peranan sebagai mekanisme insurans sosial melalui konsep perkongsian risiko. KWSP pula membantu pekerja membina keselamatan kewangan ketika persaraan. Bantuan sosial kerajaan menjadi jaringan terakhir kepada mereka yang benar-benar memerlukan.
Jaringan keselamatan sosial yang baik sebenarnya merupakan penyerap kejutan ekonomi. Apabila seseorang pekerja mengalami kemalangan, perlindungan yang mencukupi boleh menghalang kehilangan pendapatan daripada berkembang menjadi krisis kewangan keluarga. Tanpa perlindungan, simpanan mungkin habis, hutang meningkat dan keluarga yang sebelumnya mampu berdikari mungkin akhirnya memerlukan bantuan kerajaan.
Dalam kerangka ini, persoalan penting ialah bagaimana kerajaan harus menggunakan sumber fiskalnya yang sentiasa terhad. Keutamaan sepatutnya diberikan kepada bidang yang membina kapasiti ekonomi untuk jangka panjang, termasuk pendidikan, kesihatan, infrastruktur dan keselamatan.
Pendidikan menghasilkan modal insan. Kesihatan memastikan rakyat kekal produktif. Infrastruktur menghubungkan manusia dan perniagaan serta mengurangkan kos menjalankan kegiatan ekonomi. Keselamatan dan kedaulatan undang-undang pula memberikan keyakinan kepada rakyat serta pelabur.
Sebaliknya, terlalu banyak campur tangan melalui subsidi menyeluruh, kawalan harga atau bantuan yang tidak bersasar boleh menyebabkan sumber kerajaan digunakan secara tidak optimum dan pada masa yang sama melemahkan isyarat pasaran.
Kerangka ekonomi yang mampan akhirnya memerlukan dua perkara berjalan serentak: pasaran yang mampu mencipta peluang dan kekayaan serta jaringan perlindungan sosial yang mampu menyerap kejutan.
Kerajaan pula perlu memastikan kedua-duanya dapat berfungsi dengan baik sambil terus melabur dalam kapasiti rakyat. Matlamat sebuah ekonomi yang baik bukanlah memastikan tiada seorang pun akan jatuh. Itu mustahil.
Matlamatnya ialah mewujudkan sebanyak mungkin peluang untuk rakyat maju dan memastikan apabila seseorang jatuh akibat musibah, terdapat jaringan yang membantunya bangkit semula.
*Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid ialah Ketua Penganalisis Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Berhad