Liga Super: Gol lewat Tabinas pastikan Selangor tewaskan Melaka 3-2

Iklan
Aksi pemain Selangor FC, Jefferson David Tabinas ketika menentang Melaka FC pada perlawanan Liga Super 2026/2027 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya pada Ahad. Foto Bernama

SELANGOR FC memanfaatkan kelebihan beraksi di laman sendiri untuk menewaskan Melaka FC 3-2 dalam saingan Liga Super 2026/2027 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) di sini, malam ini.

Kemenangan itu menyaksikan skuad Gergasi Merah meraih tiga mata penuh untuk kekal di tangga ketiga dengan sembilan mata, selain terus memberi tekanan kepada Kuching City FC di kedudukan kedua yang memiliki kelebihan perbezaan jaringan.

Iklan
Iklan

Selangor bermula garang dan hanya memerlukan 11 minit untuk membuka tirai jaringan menerusi Chrigor Moraes.

Gol itu meningkatkan keyakinan tuan rumah untuk terus menguasai permainan, manakala Melaka cuba meningkatkan tekanan dalam usaha memburu jaringan penyamaan.

Iklan

Pemain Selangor FC, Chrigor Moraes (kanan) meraikan jaringan ketika menentang Melaka FC pada perlawanan Liga Super 2026/2027 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya pada Ahad. Foto Bernama

Bagaimanapun, kegagalan Melaka menyempurnakan peluang selain kekentalan benteng pertahanan Selangor menyaksikan kedudukan 1-0 kekal sehingga tamat babak pertama.

Iklan

Memasuki babak kedua, Melaka meningkatkan intensiti serangan, namun Selangor kekal tenang sebelum Moraes sekali lagi menghukum kelalaian benteng pelawat dengan meledak gol keduanya pada minit ke-51 untuk melebarkan kedudukan 2-0.

Enggan mengalah, Melaka bangkit dan berjaya merapatkan jurang menerusi Syahir Abdul Rashid pada minit ke-59 sebelum Dong-Hyeon Do menyamakan kedudukan 2-2 pada minit ke-75.

Ketika perlawanan kelihatan menuju keputusan seri, Jefferson Tabinas muncul wira Selangor apabila meledak gol kemenangan pada minit 90+1 untuk memastikan skuad kendalian Kim Pan Gon menamatkan aksi dengan tiga mata penuh. - Bernama