GUA MUSANG - Seorang kanak-kanak lelaki berusia sembilan tahun dan seorang remaja perempuan berusia 13 tahun dari Selangor antara enam individu yang dikhuatiri hilang ketika melakukan pendakian merentas Gunung Trans Gerah selepas gagal keluar mengikut jadual di Pos Kemar, Perak pada 3 September lalu.
Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintenden Sik Choon Foo berkata, kedua-duanya mendaki bersama ibu bapa mereka yang masing-masing berusia 39 tahun serta dua malim gunung berusia 49 dan 44 tahun.
Menurut beliau, kumpulan tersebut memasuki laluan pendakian melalui Pos Dakoh, Lojing di sini pada 29 Ogos lalu menggunakan khidmat dua malim gunung berlesen.
“Kami menerima laporan daripada ahli keluarga di Selangor pada Sabtu selepas mereka gagal keluar dari laluan pendakian mengikut jadual.
“Hasil semakan mendapati hubungan terakhir dengan kumpulan itu adalah pada 1 September lalu apabila mereka memaklumkan berada di kawasan hutan Perak dan masih meneruskan perjalanan sebelum gagal dihubungi,” katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.
Beliau berkata, berdasarkan laluan yang dirancang, kumpulan itu dijangka keluar melalui Pos Kemar, Perak selepas pendakian yang lazimnya mengambil masa antara empat hingga lima hari.
Menurutnya, polis kini sedang berhubung dengan pihak berkuasa di Perak bagi mengesahkan lokasi terakhir kumpulan berkenaan memandangkan mereka dipercayai telah melepasi sempadan Kelantan.
“Kami sedang menyelaras dengan pihak berkuasa di Perak bagi mengatur gerakan operasi dan menyelamat,” katanya.
Choon Foo berkata, polis tidak menolak kemungkinan telefon bimbit yang dibawa kumpulan itu kehabisan bateri sehingga menyebabkan mereka gagal dihubungi.