Kerajaan arah semua mesyuarat agung tahunan ditangguhkan

Iklan
Ismail Sabri semasa sidang media harian PKP di bangunan Perdana Putra hari ini. -Foto Bernama

PUTRAJAYA - Semua syarikat, koperasi, persatuan serta pertubuhan diarah untuk menangguhkan mesyuarat agung tahunan mereka sehingga tarikh yang ditetapkan atas nasihat Kementerian Kesihatan.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, bagaimanapun, mereka dibenarkan untuk mengadakan mesyuarat secara dalam talian seperti persidangan video sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Iklan
Iklan

"Biasanya apabila masuk bulan April, Mei dan Jun ini kemungkinan banyak mesyuarat agung syarikat, koperasi, persatuan mungkin akan mengadakan mesyuarat agung.

"Kerajaan putuskan supaya ia ditangguhkan ke tarikh yang ditetapkan atas nasihat Kementerian Kesihatan," katanya pada sidang akhbar selepas Mesyuarat Khas Menteri-menteri di sini hari ini.

Iklan

Menyentuh soal kepenggunaan, beliau berkata, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) melalui Bahagian Penguatkuasa sentiasa menjalankan penguatkuasaan untuk memantau 25 jenis bekalan serta bertindak menangani isu-isu pembekalan melalui Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011.

"Semalam (17 April), penguat kuasa KPDNHEP telah membuat pemantaun harian di 1,021 pemeriksaan premis perniagaan termasuk peruncit (785), pemborong (205) dan pengilang (31).

Iklan

"Secara keseluruhan bekalan barangan keperluan mencukupi dan mampu menampung permintaan semasa," katanya.

Beliau berharap pihak pengeluar, pengedar, pemborong dan pasar raya sentiasa memberi kerjasama dalam memastikan pembekalan barangan keperluan asas pengguna mencukupi dan melaporkan sebarang masalah kekurangan bekalan barangan kepada KPDNHEP untuk tindakan.