Lelaki terlibat kes dadah maut ditembak

Iklan
Mayat lelaki dipercayai ditembak dibawa keluar dari sebuah rumah di Taman Garden Homes Seremban 2.

SEREMBAN - Seorang lelaki dipercayai terlibat dalam kes dadah maut ditembak dalam kejadian di sebuah rumah di Taman Garden Homes, Seremban 2 di sini pada Ahad.

Kejadian dilaporkan berlaku kira-kira jam 1.50 petang.

Iklan
Iklan

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan.

"Maklumat lanjut akan dimaklumkan dalam satu sidang media yang akan dibuat oleh Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman di Ibu Pejabat Polis Daerah Seremban pada jam 11.45 pagi esok," katanya.

Iklan

Polis menjalankan siasatan di lokasi kes tembakan di sebuah rumah di Taman Garden Homes Seremban 2.

Beliau turut meminta orang ramai supaya bertenang dan tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian terbabit.

Iklan

Sementara itu, tinjauan Sinar Harian di lokasi kira-kira jam 3.15 petang mendapati beberapa kenderaan polis berada di kawasan berkenaan, turut kelihatan Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohd Yatim Osman.

Pada jam 4.25 petang, polis dilihat membawa keluar satu mayat yang ditutup dengan plastik hitam dari sebuah rumah di kawasan itu.

Seorang penduduk yang mahu dikenali sebagai Ali, 70, berkata, dia hanya mengetahui mengenai kejadian berkenaan selepas dimaklumkan oleh jirannya.

"Selepas solat, saya keluar rumah dan jiran memberitahu ada kejadian tembakan. Tidak lama kemudian, saya nampak beberapa kenderaan polis tiba.

"Apabila melihat banyak kenderaan polis, saya turut bimbang mengenai keselamatan kami kerana kejadian seperti ini pertama kali berlaku sepanjang saya tinggal di sini," katanya.

Seorang lelaki maut dipercayai ditembak dalam sebuah rumah di Taman Garden Homes Seremban 2.

Menurut Ali, pada minggu lalu dia turut melihat empat buah kenderaan yang berada dalam keadaan mencurigakan di kawasan kejiranan itu.

Katanya, kenderaan berkenaan berhenti di bawah pokok selama lebih sejam dengan enjin masih dihidupkan.

"Namun, kami tidak nampak sesiapa keluar dari kenderaan itu dan cerminnya juga gelap. Keesokan harinya, ada pula kenderaan lain berhenti di tempat yang sama.

"Ia sangat mencurigakan dan isteri saya kemudiannya menghubungi polis. Sebaik sahaja polis tiba, kereta itu terus bergerak," katanya.