Agenda Melayu, hala tuju PRU16 dijangka jadi tumpuan PAU - Ahmad Maslan

Iklan
Ahmad (tengah) pada Program Selangkah ke Universiti Pengambilan 2026 peringkat Ijazah di Dewan Orang Ramai Ayer Baloi, Pontian.

PONTIAN - Gagasan perpaduan Melayu dan hala tuju politik UMNO serta Barisan Nasional (BN) perlu dijadikan antara agenda utama yang dibincangkan pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) yang bermula Rabu ini.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, perpaduan Melayu bukan sekadar berkaitan kekuatan politik, sebaliknya perlu dilihat sebagai asas kepada usaha memperkukuh penguasaan ekonomi.

Iklan
Iklan

Menurutnya, PAU yang diadakan setiap tahun kekal sebagai pertemuan terbesar orang Melayu di Kuala Lumpur dan mendapat sambutan tinggi walaupun UMNO hanya sebahagian daripada kerajaan.

“Perhimpunan Agung UMNO memang setiap tahun menjadi pertemuan terbesar orang Melayu di Kuala Lumpur.

Iklan

“Walaupun UMNO hanya sebahagian daripada kerajaan, minat ramai pihak untuk hadir ke Perhimpunan Agung UMNO tetap tinggi setiap tahun.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Program Selangkah ke Universiti Pengambilan 2026 peringkat Ijazah di Dewan Orang Ramai Ayer Baloi di sini pada Ahad.

Iklan

Perhimpunan yang dijadualkan berlangsung dari 9 hingga 12 September ini dijangka menghimpunkan 6,401 perwakilan rasmi dari seluruh negara.

Dalam pada itu, Ahmad yang juga Timbalan Menteri Kerja Raya berkata, PAU kali ini turut perlu membincangkan hala tuju politik UMNO dan BN bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

Katanya, perkara itu penting memandangkan PAU berkemungkinan menjadi perhimpunan terakhir parti sebelum PRU16.

“Saya secara peribadi ingin mendengar pandangan perwakilan Pemuda, Wanita dan Puteri daripada 13 negeri mengenai hala tuju politik UMNO dan BN menghadapi PRU16.

“Kita mahu mendengar apakah pandangan mereka mengenai hala tuju parti untuk menghadapi PRU16,” katanya.

Menurutnya, pandangan perwakilan negeri perlu didengar secara terbuka oleh kepimpinan parti menerusi perbahasan pada sayap Wanita, Pemuda, Puteri dan Perhimpunan Agung UMNO.

Katanya, setiap wakil negeri juga perlu mengambil perkara penting daripada ucapan dasar Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi serta ketua-ketua sayap parti sebelum membincangkan hala tuju politik masing-masing.