Peserta KKEC meninggal dunia alami sesak nafas ketika program Mara Lasak

Iklan
Allahyarham Fadhlan Fakhry Solana Mohd Fellimal dipercayai mengalami sesak nafas semasa menyertai acara Mara Lasak pada Jumaat lepas.

KUANTAN - Peserta program Komander Kesatria Endurance Challenge (KKEC) yang meninggal dunia dipercayai mengalami sesak nafas semasa menyertai acara Mara Lasak pada Jumaat lepas, sebelum dikejarkan ke hospital untuk mendapatkan rawatan.

Ketua Polis Daerah Maran, Superintenden Wong Kim Wai berkata, siasatan awal mendapati penuntut Universiti Teknologi Mara (UiTM) berusia 21 tahun itu, kemudiannya telah dibawa ke Hospital Jengka, Maran sebelum tenat disebabkan penurunan oksigen dan dirujuk ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS), Temerloh. 

Iklan
Iklan

"Semasa mendapatkan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) HoSHAS, penuntut terbabit telah meninggal dunia pada 2.08 petang semalam dan hasil bedah siasat, pending laboratory investigations,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Beliau berkata, ketika kejadian 9.57 malam itu juga, empat masing-masing penuntut lelaki dan wanita turut mengalami sesak nafas dan dibawa ke Hospital Jengka.

Iklan

"Siasatan mendapati terdapat dua lagi pelajar yang dirujuk ke Hospital HoSHAS dimasukan ke wad ICU semalam, kerana penurunan oksigen dan sehingga kini berada dalam keadaan stabil. 

"Enam lagi pelajar yang mendapatkan rawatan di Hospital Jengka juga berada dalam keadaan stabil dan masih lagi dalam pemerhatian,” katanya.

Iklan

Kim Wai berkata, UiTM Jengka telah menjadi tuan rumah bagi Duathlon KKEC, yang melibatkan 521 peserta dari seluruh cawangan UiTM di Malaysia kecuali Sarawak, yang telah berlangsung bermula 2 September dan dijangka tamat pada 8 September. 

Beliau berkata, acara yang telah dianjurkan ialah larian sejauh lapan kilometer (km) , berbasikal sejauh 20km dan mara lasak sejauh 10km.

Sementara itu, Kim Wai berkata, pihaknya masih menjalankan siasatan dan orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat yang tidak disahkan, khususnya melalui media sosial yang boleh menjejaskan siasatan serta menimbulkan kekeliruan kepada keluarga dan masyarakat.

Selain itu, beliau menasihatkan orang ramai tidak menjalankan sebarang aktiviti lasak dalam keadaan cuaca yang panas ini, di samping keadaan jerubu. 

Sebelum ini, UiTM Cawangan Pahang dalam kenyataan menzahirkan rasa dukacita dan mengucapkan takziah kepada keluarga peserta program KKEC daripada UiTM Cawangan Negeri Sembilan, Allahyarham Fadhlan Fakhry Solana Mohd Fellimal.

UiTM juga dilaporkan memaklumkan sebagai bukti komitmen universiti terhadap keselamatan dan kesihatan pelajar, pihak penganjur telah menetapkan pertandingan melibatkan aktiviti luar KKEC 2026 yang dijadualkan pada hari ini dibatalkan. - Bernama

ARTIKEL BERKAITAN: Kematian peserta KKEC: UiTM teliti semula keseluruhan penganjuran

Tujuh pelajar UiTM masih terima rawatan, aktiviti luar KKEC 2026 batal serta-merta

Peserta KKEC 2026 meninggal dunia, UiTM laksana tindakan segera

KKEC UiTM: Beri bantuan, sokongan keluarga pelajar meninggal dunia - Zambry