PH-BN saling memerlukan di Perak

Iklan
Mohamad Hairul Amir (dua dari kiri) menurunkan tandatangan sebagai gimik perasmian Pasukan Bomba Komuniti KAMI (Komuniti Anak Manjoi Ipoh) Gugusan Manjoi di Dewan Komuniti Sungai Tapah di Ipoh pada Ahad.

IPOH - Hubungan antara Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) dalam Kerajaan Perpaduan di Perak mampu bertahan sehingga tamat penggal pentadbiran.

Pegawai Khas kepada Ahli Parlimen Tambun, Mohamad Hairul Amir Sabri berkata, setakat ini tiada sebarang isu berbangkit antara kedua-dua gabungan di peringkat negeri.

Iklan
Iklan

Menurutnya, kerjasama erat itu didorong oleh keperluan bersama dalam memastikan kestabilan kerajaan negeri terus terpelihara.

"Di Perak ini, kita saling memerlukan. Sekiranya PH hilang, UMNO akan terkesan dan sekiranya UMNO keluar, PH juga akan terkesan," katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Perasmian Pasukan Bomba Komuniti KAMI (Komuniti Anak Manjoi Ipoh) Gugusan Manjoi di Dewan Komuniti Sungai Tapah di sini pada Ahad.

Hadir sama, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Meru Raya, Akmar Hisham Basor dan Ketua Pasukan Bomba Komuniti KAMI Gugusan Manjoi, Amir Hamzah Ismail.

Iklan

Mengulas lanjut, Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Perak itu berkata, kebergantungan antara kedua-dua parti itu menjadikan sebarang usaha untuk menggugat kestabilan kerajaan negeri sukar dilakukan.

"Apabila masing-masing mempunyai kepentingan untuk memastikan kerajaan stabil, saya rasa hubungan itu sukar untuk digugat,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau menegaskan fokus utama kerajaan ketika ini adalah untuk memastikan kesejahteraan rakyat serta pembangunan negeri berjalan lancar.

"Setakat ini tidak ada sebarang kenyataan terbuka daripada mana-mana pimpinan negeri yang menunjukkan wujudnya masalah dalam gabungan ini.

"Keutamaan kita adalah memastikan kesejahteraan rakyat dan segala keputusan akan dibuat dengan mengambil kira kestabilan sehingga pembubaran Dewan Undangan Negeri," katanya.

Mengulas mengenai kemungkinan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, Mohamad Hairul Amir berkata, jentera dari Perak bersedia untuk digerakkan bagi membantu kempen apabila tiba masanya.

Ujarnya, pengalaman membantu kempen di negeri lain seperti Negeri Sembilan dan Johor akan digunakan sebagai panduan dalam mengatur gerak kerja di Melaka nanti.