SERDANG- Setiap kementerian sememangnya mempunyai permohonan peruntukan tambahan dari semasa ke semasa berdasarkan keperluan yang dihadapi.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, antara perkara yang diberi perhatian pihaknya termasuk persediaan menghadapi kemungkinan fenomena El Nino pada tahun hadapan yang boleh memberi kesan kepada sektor agromakanan, khususnya perusahaan akuakultur.
"Memang setiap kementerian ada permohonan. Misalnya kita nak hadapi El Nino tahun depan jadi kita menyediakan apa yang kita perlu, langkah-langkah awal terutama sekali kalau cuaca terlalu panas.
"Ikan-ikan kemungkinan akan mati dan sebagainya.
"Kita perlu menyediakan bantuan-bantuan itu kepada perusahaan. Banyak lagi yang lain, itu salah satu El Nino. Selain itu kalau berlaku misalnya, kenaikan harga baja yang mendadak. Jadi kita kena juga memohon bantuan daripada pihak kerajaan.
"Jadi ini adalah belanjaan tambahan dari masa ke semasa. Kita melihat keadaan itu," katanya dalam sidang akhbar selepas selesai Majlis Penutupan Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2026 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) yang dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Ahad.
Terdahulu, Anwar memaklumkan kerajaan tidak mempunyai masalah untuk meningkatkan peruntukan kepada Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), namun aspek tatakelola perlu diberi keutamaan bagi memastikan peruntukan itu diuruskan dengan baik.
Menurutnya Kerajaan Madani memang memberikan tumpuan khas kepada kegiatan dan perkembangan program kementerian itu selain program pertanian masih merupakan fokus pihaknya.
Katanya, peruntukan tersebut tentunya harus ditambah sesuai dengan prestasi kementerian berkenaan yang membanggakan antaranya membabitkan eksport nanas yang dulu kecil sekarang sudah besar selain pengeluaran bawang yang hampir tidak ada dahulunya, sekarang sudah berkembang.