JAKARTA - Bencana alam bertimpa-timpa melanda Indonesia dengan beberapa gunung berapi meletus serentak manakala kebakaran hutan pula menyebabkan jerebu tebal menyelubungi beberapa kawasan dan kini merebak ke sejumlah negara jiran.
Pihak berkuasa kini berada dalam keadaan berjaga-jaga dan meningkatkan pemantauan susulan peningkatan aktiviti Gunung Anak Krakatau di Selat Sunda yang menimbulkan kebimbangan terhadap kemungkinan berlakunya semula tsunami seperti yang melanda kawasan berkenaan pada 2018.
Agensi Meteorologi, Klimatologi dan Geofizik Indonesia (BMKG) pada Ahad bagaimanapun tidak mengesan sebarang anomali paras laut di sekitar Selat Sunda meskipun berlaku gangguan geomagnetik dan peningkatan aktiviti kilat gunung berapi.
Hujan abu vulkanik dilaporkan melanda beberapa kawasan di Banten termasuk Tangerang selain turut menjejaskan sebahagian wilayah Jakarta dan Jawa Barat.
Ketua Pejabat Alam Sekitar Jakarta, Dudi Gardesi berkata, usaha diselaraskan dengan beberapa agensi termasuk Mitigasi Bencana Geologi (PVMBG), Agensi Pengurusan Bencana Daerah Jakarta (BPBD) serta Pejabat Kesihatan Jakarta untuk memantau kualiti udara akibat letusan Anak Krakatau.
“Setiap perubahan keadaan perlu segera disusuli dengan maklumat terkini supaya penduduk mengetahui langkah segera yang perlu diambil."Penduduk di kawasan yang terjejas akibat hujan abu atau kemerosotan kualiti udara supaya mengehadkan aktiviti luar yang tidak penting," ujarnya.
Siri letusan Anak Krakatau turut menjejaskan sektor penerbangan hingga memaksa Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta di Jakarta menggantung operasi sementara. Penutupan itu menjejaskan 209 penerbangan dan hampir 23,000 penumpang termasuk penerbangan antarabangsa ke beberapa destinasi seperti Singapura dan Kuala Lumpur.
Dalam perkembangan berkaitan, Gunung Semeru yang terletak di sempadan Kabupaten Lumajang dan Malang, Jawa Timur juga meletus dan memuntahkan abu tebal setinggi 1,000 meter (m) ke permukaan udara.
Aktiviti gunung berapi itu kekal pada Tahap III iaitu status berjaga-jaga dan orang ramai di luar kawasan tersebut dinasihatkan supaya berada sekurang-kurangnya 500m dari tebing sungai Besuk Kobokan kerana awan panas dan lahar boleh mengalir sehingga 17 kilometer dari puncak.
Sebarang aktiviti dalam radius lima kilometer dari kawah atau puncak Gunung Semeru turut dilarang berikutan risiko lontaran batuan panas dari kawah.
Pada masa sama, kebakaran hutan di Gunung Semeru masih belum dapat dikawal sepenuhnya dan api terus merebak. Data Taman Negara Bromo Tengger Semeru menunjukkan lebih 3,000 hektar hutan telah musnah dijilat api manakala laluan pendakian ke gunung tertinggi di Pulau Jawa itu kekal ditutup. - Agensi
INFO
> Pada 31 Ogos lalu, enam gunung berapi; Ibu, Semeru, Lewotobi Laki-laki, Ili Lewotolok, Anak Krakatau dan Sinabung dilaporkan mengalami letusan hampir serentak. Bagaimanapun, PVMBG maklumkan ia berlaku secara berasingan dan tidak saling berkaitan.